'Kami tak sempurna, tapi kami lakukan yang terbaik kami mampu'

Muhyiddin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto: Bernama
Muhyiddin bercakap pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa orang ramai untuk bersama-sama dengan kerajaan yang sedang berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan negara dapat mengharungi krisis koronavirus (Covid-19) dengan jayanya.

Menyifatkan Malaysia sebagai negara yang sedang berperang dengan kuasa halimunan, beliau berkata, situasi yang sedang dihadapi ketika ini tidak pernah berlaku dahulu dalam sejarah negara.

Sebagai barisan pentadbiran kerajaan yang baru dibentuk, malah dalam tempoh tidak sampai sebulan, Perdana Menteri mengakui akan hakikat bahawa kerajaan pimpinannya mungkin bukan kerajaan yang diundi rakyat.

“Tetapi saya mahu saudara-saudari semua tahu bahawa kerajaan ini prihatin terhadap kebajikan saudara-saudari.

“Saya terima hakikat bahawa saya menjadi Perdana Menteri bukan pada masa terbaik. Saya berdepan dengan krisis politik, ekonomi dan kesihatan serentak pada masa yang sama,” katanya pada akhir pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di sini hari ini.

Muhyiddin mengambil perhatian bahawa situasi Covid-19 yang tidak pernah berlaku sebelum ini juga telah mendesak kerajaan untuk melaksanakan langkah yang tidak pernah dilakukan dahulu.

“Dengan ini, saudara dan saudari semua, dan anak-anak negara yang tercinta ini, sama ada anda Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, orang asal, marilah bersama-sama dengan saya dan rakan-rakan saya dalam Kabinet dan kerajaan.

“Kami tidak sempurna, tetapi kami sedang melakukan yang terbaik yang kami mampu untuk mengharungi krisis ini bersama-sama dengan jayanya, sebagai sebuah negara, insya-ALLAH kita akan menjadi lebih kuat apabila krisis ini berakhir dan semuanya pulih seperti sediakala,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin mengakhiri ucapan merayu sokongan seluruh rakyat untuk berganding bahu mengharungi krisis akibat wabak Covid-19 bersama-sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!