Covid-19: Jabatan mufti sedia garis panduan guna tabung masjid, surau

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Jabatan Mufti Perak menyediakan garis panduan kepada masjid dan surau di semua daerah bagi penggunaan hasil tabungan untuk membantu golongan sasar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jabatan Mufti dalam satu kenyataan berkata, tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April membawa kebimbangan kepada rakyat terutama yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap serta mempunyai tanggungan yang ramai.

“Berdasarkan keprihatinan terhadap hal itu, adalah wajar seluruh Ahli Jawatankuasa Kariah mengambil maklum terhadap wang tabungan supaya mematuhi piawaian syarak.

“Beberapa kriteria tabungan, kutipan atau dana dan cadangan penggunaan ketika penularan wabak koronavirus (Covid-19) untuk penelitian seperti derma awam tanpa dikhususkan dan dikhususkan, tabungan wakaf atau saraan khas untuk masjid dan surau, dana wakaf yang tidak dikhususkan, dana khas utiliti, dana kebajikan dan dana khas pengajian," katanya.

Menurutnya, Ahli Jawatankuasa Kariah juga dinasihatkan untuk membantu mana-mana individu atau keluarga Islam yang tercicir, terlewat atau tiada menerima bantuan.

“Golongan tersebut perlu dibantu berdasarkan keutamaan penggunaan tabung atau dana yang disediakan di masjid atau surau seperti dana kebajikan dan derma awam.

"Sekiranya tidak mempunyai kedua-dua tabungan tersebut, adalah wajar untuk mewujudkannya bagi memberi peluang seluruh ahli kariah yang berkemampuan untuk menyumbang," katanya.

Pihaknya mengharapkan pembahagian kriteria dana sedia ada telah dilaksanakan di kebanyakan masjid dan surau serta panduan penggunaannya ketika penularan wabak Covid-19 itu dapat diberikan kepada pihak-pihak terlibat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!