Boleh jalani ujian saringan Covid-19 di fasiliti perubatan swasta

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia yang mempunyai polisi insurans dan takaful serta berkemampuan kini boleh menjalani ujian saringan Covid-19 di mana-mana fasiliti perubatan swasta negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bagi industri insurans dan takaful menanggung kos ujian penyaringan itu semestinya meringankan beban Kementerian Kesihatan (KKM).

"Jadi kita mengharapkan mereka yang ada insurans dan berkemampuan boleh menjalankan ujian tersebut di pihak swasta," katanya mengulas pertanyaan berhubung Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri petang tadi.

Melalui pakej itu, pihak industri insurans dan takaful mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan KKM untuk menjalani ujian di fasiliti perubatan swasta.

Dr Noor Hisham juga berkata, elaun khas yang diberikan kepada doktor dan jururawat merupakan satu bentuk penghargaan daripada kerajaan atas kerja keras mereka sejak empat bulan lepas.

"Mereka telah menyumbang tenaga, mengorbankan keluarga dan masa bagi memastikan mereka melakukan tugasan yang terbaik.

"Para petugas terbabit telah bekerja tanpa mengira masa sejak empat bulan lepas. Bukan sebulan tetapi empat bulan kerana kami bermula awal," katanya.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan bahawa sebagai menghargai pengorbanan para doktor, jururawat dan petugas kesihatan, kerajaan akan menaikkan elaun khas mereka daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April sehingga situasi Covid-19 pulih.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan berkaitan kit ujian pantas (RTK) yang dikeluarkan China, Dr Noor Hisham berkata hasil ujian daripada alat tersebut adalah tidak tepat.

Beliau berkata, KKM juga sedang meneliti RTK yang dihasilkan di Korea.

"Jika ia berjaya dan ketepatan serta sensitivitinya adalah amat tinggi, maka kita akan membelinya sebanyak 200,000 unit namun jika ketepatannya tidak begitu baik, maka kita tidak akan meneruskan pembelian kit itu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!