Covid-19 ujian ke atas kemanusiaan

A
A
A

Perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April sememangnya sudah diduga. Selepas hampir dua minggu PKP pertama dilaksanakan, kegagalan tindakan itu untuk menurunkan graf kes Covid-19 di negara kita menjadi penyebab utama keputusan itu diputuskan.

Pendekatan kerajaan dengan mengharapkan kerjasama rakyat untuk membuat kawalan kendiri dan kepatuhan kepada arahan untuk sentiasa berada di rumah belum cukup berkesan.

Dunia sudah acap kali dilanda wabak berbahaya seperti Covid-19 ini sebelumnya. Setiap kali itulah dunia berjaya mengatasinya. Namun begitu, di sebalik semua itu kita terus diperlihatkan betapa rumit dan degilnya manusia untuk diuruskan ketika krisis kesihatan melanda mereka. Sikap tidak peduli, sambil lewa, degil dan meremehkan keadaan terus-terusan diceritakan dalam setiap catatan sejarah ketika mana wabak melanda.

Sebab itu dalam masa kritikal sebegini, ujian wabak itu bukanlah kepada kesiapsiagaan sistem dan institusi kesihatan negara tetapi kepada manusia itu sendiri. Mungkin dahulu ketika wabak melanda, tidak banyak informasi dan maklumat yang boleh dijadikan rujukan lalu menyebabkan manusia tidak peka dan tahu tentang bahaya yang mereka hadapi.

Tapi apa yang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang sukar difahami. Dengan segala macam platform dan saluran maklumat, siap dengan grafik dan gambar yang dahsyat serta menggerunkan pun masih tidak melenturkan jiwa manusia supaya lebih prihatin. Kalau mereka peka sekalipun, ramai pula yang culas dan mendahulukan kepentingan diri sendiri.

Mereka sanggup untuk tidak bekerjasama dengan kerajaan membuat saringan kesihatan walaupun sudah menyaksikan kematian rakan sejemaah seusai pulang perhimpunan bersama. Ada yang sanggup lari dari hospital walaupun disahkan positif Covid-19.

Lebih parah, masih ada yang berkenduri-kendara sekampung tanpa rasa takut ke atas keselamatan masing-masing yang akhirnya membawa padah dan menyusahkan semua pihak. Elok-elok PKP, terus dapat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sudah pasti akan lebih menyulitkan kehidupan harian yang sudah sedia sukar.

Sebab itu, Covid-19 ini sebenarnya adalah ujian kepada kemanusiaan. Kita sebenarnya diuji Tuhan daripada pelbagai sifat kemanusiaan; kesabaran, prihatin, empati, reda dan sebagainya. Baik golongan elit, pertengahan dan bawah, semua Tuhan uji agar kita mampu keluar daripada masalah ini dan menjadi sebaik-baik insan. Kerana masa sukarlah selalunya akan menjelmakan karektor sebenar kita sebagai manusia.

Artikel Berkaitan:

Bukan semua yang negatif tentang sifat manusia ketika masa genting mesti dipertonjolkan. Dalam semua itu, masih ada insan berhati mulia yang wajib kita angkat sebagai contoh tauladan.

Kita ucapkan terima kasih dan tabik buat dua anggota polis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Koperal Mohd Hisham Mustafa dan Konstabel Mudrikah Nazirul Nordin atas tindakan berhati mulia mereka semasa rondaan Ops Covid-19 di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.

Mereka berdua ialah contoh manusia yang berjaya memperlihatkan nilai kemanusiaan yang sangat tinggi ketika mana ia sangat-sangat diperlukan. Semoga ALLAH membalas segala budi dan jasa tuan berdua dan ia dijadikan tauladan buat semua ketika menghadapi ujian di masa yang mencabar ini.

* Mujibu Abdul Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!