Covid-19: Niaga hadapan minyak sawit mentah ditutup tinggi
KONTRAK niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri minggu ini dengan ditutup kukuh berikutan bimbang mengenai bekalan selepas beberapa ladang telah menggantung operasi mereka akibat wabak koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dijalankan.
Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata, dengan bulan Mac akan berakhir minggu depan, tumpuan adalah pada kedudukan stok akhir bulan susulan pengeluaran dan eksport yang rendah manakala penggunaan domestik dijangka sekali lagi mencatatkan prestasi yang baik.
“Ekuiti Asia yang kukuh, prospek pengeluaran yang rendah dan pemberian tunai di bawah pakej rangsangan Malaysia yang kedua meningkatkan sentimen perbelanjaan pengguna," katanya kepada Bernama.
Pada penutup, kontrak bulan semerta April 2020 meningkat RM67 kepada RM2,487 setan metrik, Mei 2020 meningkat RM31 kepada RM2,426 setan metrik, Jun 2020 menambah RM21 kepada RM2,378 setan metrik dan Julai 2020 meningkat RM14 kepada RM2,348 setan metrik.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 46,304 lot daripada 70,780 lot semalam, manakala kepentingan terbuka turun kepada 262,730 kontrak daripada 287,862 kontrak sebelumnya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!