Pakej rangsangan Prihatin RM250 bilion luar biasa: Penganalisis
SHAH ALAM - Seluruh 30 juta rakyat Malaysia pastinya bersorak gembira di rumah ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membacakan pengumuman khas di kaca televisyen atau laman sosial masing-masing.
Masakan tidak, pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin bukannya sedikit, tetapi mencapai angka keseluruhan RM250 bilion yang pastinya memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.
Pengumuman itu juga pastinya memberi kelegaan kepada 14.6 juta pekerja swasta yang kini gusar bakal diberhentikan atau diarahkan cuti tanpa gaji susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19) dilanjutkan sehingga 14 April.
Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana, manakala RM2 bilion diperuntukkan untuk memperkukuhkan ekonomi negara.
Rata-rata warganet berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan melalui laman sosial masing-masing kerana pengumuman itu bukan sahaja dirasai golongan berpendapatan rendah (B40), bahkan M40, golongan berkemampuan, pekerja sendiri serta pemain ekonomi gig.
Lebih melucukan, analogi 'Makcik Kiah' yang digunakan Muhyiddin bagi menggambarkan jumlah keseluruhan manfaat diterima rakyat secara mudah turut menjadi tular dan dijadikan bahan jenaka positif oleh mereka.
Persoalannya, adakah pengumuman pakej rangsangan ekonomi bagi fasa ketiga selepas pakej pertama RM20 bilion diumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta pakej susulan RM3.88 bilion diumumkan Muhyiddin benar-benar menyeluruh dan mencakupi keperluan rakyat segenap peringkat?
Pakar ekonomi yang juga Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma berpendapat, pengumuman pakej rangsangan ekonomi melibatkan jumlah RM250 bilion adalah satu keputusan luar biasa oleh kerajaan dan di luar jangkaannya.
Secara menyeluruh, beliau berpandangan nilai peruntukan disediakan kerajaan yang merangkumi 17 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melambangkan kerajaan sangat komprehensif, prihatin serta berasaskan ekonomi pintar (smart economic).
"Perkara ini dapat dilihat melalui tiga elemen penting ekonomi negara iaitu pengguna, pelaburan dan kerajaan yang diberi tumpuan sepenuhnya dalam Prihatin dengan nilai RM128 bilion diperuntukkan untuk menjaga kesejahteraan rakyat (pengguna); bantuan PKS RM100 bilion (pelaburan) dan pertumbuhan ekonomi negara RM2 bilion (kerajaan).
"Selain itu, peruntukan sangat besar itu juga menunjukkan kerajaan sangat memahami keperluan menyelesaikan masalah ekonomi dari dua perspektif utama iaitu aspek penawaran di mana pekerja diberhentikan atau perniagaan PKS mungkin terpaksa terhenti disebabkan PKP serta aspek permintaan (bila rakyat tidak bekerja, mereka tidak boleh berbelanja dan akhirnya ekonomi terhenti," katanya sewaktu dihubungi.
Madeline turut menyuarakan kekaguman terhadap inisiatif kerajaan mewujudkan subsidi upah sekurang-kurangnya RM600 sebulan kepada majikan yang terjejas pendapatan lebih 50 peratus selama tempoh tiga bulan.
Menurutnya, meskipun syarat diletakkan kerajaan terhadap majikan sangat ketat iaitu tidak boleh membuang atau mengurangkan gaji pekerja masing-masing, ia masih satu kaedah komprehensif dan prihatin kerajaan dalam memastikan masalah pemberhentian kerja secara besar-besaran tidak berlaku.
"Selain itu, buat pertama kalinya satu pakej rangsangan ekonomi dikemukakan bukan sahaja mengambil berat B40 dan PKS, bahkan golongan M40, pekerja berpendapatan tinggi, pekerja sendiri, pemain ekonomi gig, golongan warga emas serta gelandangan turut mendapat pelbagai manfaat.
"Saya berani mengatakan pakej diumumkan sangat berinovatif, mempunyai perancangan jangka masa panjang serta diyakini mampu membantu negara menewaskan musuh utama kita iaitu Covid-19 serta kegawatan ekonomi," katanya.
Madeline turut menjangkakan pakej rangsangan ekonomi susulan akan diumumkan sesudah wabak Covid-19 dibendung sepenuhnya dengan kerajaan akan berbelanja lebih besar melalui pelaksanaan projek-projek mega bagi mewujudkan kembali peluang pekerjaan.
"Jelaslah penyediaan pakej rangsangan ini bukan bersifat ad hoc, tetapi langkah pelaksanaannya perlu lebih komprehensif dan pantas bagi mengelakkan ia tidak sampai kepada golongan sasaran," katanya.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan, pengumuman pakej rangsangan itu menumpukan usaha kerajaan menampung keperluan aliran tunai rakyat agar dapat terus berbelanja sepanjang tempoh kegawatan ekonomi dan Covid-19.
Paling penting, beliau menegaskan pakej rangsangan dapat mengurangkan kesukaran rakyat disebabkan Covid-19 di samping memastikan peniaga-peniaga PKS dan ekonomi domestik terus hidup.
"Krisis ekonomi akibat Covid-19 pada kali ini dapat dibuktikan jauh lebih serius berbanding sebelum ini apabila jumlah peruntukan pakej rangsangan digunakan merangkumi 17 peratus daripada KDNK, lebih tertinggi berbanding krisis kewangan global 2009 (10 peratus daripada nilai KDNK).
"Bahkan, negara juga telah mencapai kadar defisit fiskal yang besar sebanyak 6.6 peratus dengan hutang kerajaan kini mencecah 57 peratus melebihi 'self impose limit' iaitu 55 peratus.
"Namun keadaan semasa yang meruncing ketika ini membenarkan kerajaan berbelanja lebih, sekali gus membuktikan keseriusan mereka dalam memulihkan ekonomi negara pada tahap sepatutnya," katanya.
Afzanizam turut menegaskan keadaan ekonomi negara akan lebih cepat pulih dalam kadar pertumbuhan sangat tinggi hanya sekiranya mereka cepat mengawal dan membendung sepenuhnya penularan Covid-19.
"Sewaktu krisis ekonomi global tahun 2009, negara mencatatkan penguncupan ekonomi sebanyak 1.5 peratus, namun tumbuh pada kadar 7.5 peratus pada tahun berikutnya susulan masalah kegawatan selesai dan ekonomi kembali lancar.
"Saya fikir situasi lebih kurang sama akan berlaku sekiranya kita berjaya meredakan Covid-19 yang menjadi punca kegawatan, cuma rakyat negara ini perlu bersatu-padu mematuhi arahan PKP bagi merealisasikannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!