Masuk ke Singapura: Syarat tambahan pemegang pas jangka panjang
SINGAPURA - Berikutan risiko kemasukan kes Covid-19 dari luar semakin meningkat, Singapura akan melaksanakan langkah berjaga-jaga tambahan terhadap semua pemegang Pas Jangka Panjang (LTP) yang memasuki atau kembali ke republik itu.
Ini termasuk pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang (LTVP), Pas Pelajar (STP), serta mereka yang telah diberikan Kelulusan dalam Prinsip (IPA) untuk LTP.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini berkata, langkah-langkah ini akan berkuat kuasa mulai 29 Mac, 2020, jam 2359
"Semua pemegang LTVP serta mereka yang telah diberi IPA untuk LTVP, yang merancang untuk memasuki atau kembali ke Singapura mesti mendapatkan kebenaran ICA sebelum memulakan perjalanan mereka ke Singapura," jelas kenyataan itu.
Mereka boleh berbuat demikian dengan mengemukakan permohonan mereka kepada ICA_nCoV_request@ica.gov.sg.
Sementara itu, semua pemegang STP sedia ada, dan mereka yang telah diberi IPA untuk STP, yang merancang untuk memasuki atau kembali ke Singapura perlu mesti mendapatkan kebenaran MOE sebelum memulakan perjalanan mereka ke Singapura.
MOE akan mengambil kira kursus yang didaftar oleh pelajar itu dan mengutamakan kelulusan kemasukan bagi mereka yang belajar di Institut Pengajian Tinggi awam.
Mereka perlu mengemukakan permohonan mereka kepada institusi pendidikan masing-masing, yang kemudian akan mengemukakan permohonan mereka kepada MOE.
Sekiranya kebenaran diberikan, pemohon akan diberikan surat kelulusan kemasukan oleh ICA untuk pemegang LTVP, atau oleh MOE untuk pemegang STP, yang sah selama dua minggu.
Mereka perlu mengemukakan surat kelulusan ini kepada petugas syarikat penerbangan semasa daftar masuk di lapangan terbang berlepas, dan kepada pegawai imigresen di pusat pemeriksaan semasa tiba di Singapura.
Sekiranya mereka tiba di Singapura tanpa surat kebenaran masuk daripada ICA/MOE, ICA tidak akan membenarkan mereka melepasi pemeriksaan imigresen, dan mereka dikehendaki keluar dari Singapura dalam masa 48 jam, dengan kos ditanggung sendiri.
Jika mereka gagal mematuhinya, ICA akan membatalkan pas dan IPA mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!