Gepima sifatkan kerajaan PN peduli rakyat
SHAH ALAM - Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) menyifatkan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang dumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan kerajaan Perikatan Nasional mengutamakan kepentingan dan peduli rakyat.
Presidennya, Syed Osman Mohamed turut memuji kerajaan sentiasa dekat di hati rakyat khususnya mereka yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak koronavirus Covid-19.
Menurutnya, Gepima pengumuman Perdana Menteri itu amat penting dan kerajaan juga menyedari bahawa ekonomi rakyat turut terbeban dengan keadaan semasa serta pasca wabak Covid-19 nanti.
“Kami (Gepima) amat berterima kasih kepada pasukan kerajaan yang diketuai Perdana Menteri kerana sentiasa meletakkan kepentingan rakyat nombor satu.
“Gepima turut mendoakan pasukan ini sentiasa diberi perlindungan dan pertolongan dalam menghadapi cabaran mendatang selain terus berdoa keadaan negara kita kembali pulih daripada sebarang wabak serta bencana,” katanya melalui kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Syed Osman yang juga Exco Majlis Belia Malaysia turut mengakui Pakej Prihatin Rakyat itu dilihat mampu memulihkan keamanan, ketenangan, keharmonian dan ekonomi negara.
“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas hadapan (frontliners) yang sentiasa bertungkus lumus, berkorban masa, tenaga dan keluarga dalam menjaga kita semua dari wabak Covid-19,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!