MB gesa beri peluang orang susah terima bantuan
SEREMBAN – Kerajaan negeri berharap individu yang bergaji dan mempunyai pencen mencukupi tidak memohon bantuan khas barangan keperluan.
Barangan berkenaan disediakan kepada individu yang pendapatannya terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan koronavirus(Covid-19).
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya menerima terlalu banyak permohonan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan ada dalam kalangan pemohon sebenarnya tidak layak.
“Saya mohon sangat kepada mereka yang bergaji dan ada pencen mencukupi memberi peluang kepada mereka yang betul-betul susah dan terjejas atau tiada pendapatan langsung sepanjang tempoh PKP ini untuk menerima bantuan.
“Kakitangan kerajaan juga tidak layak untuk memohon bantuan ini kerana gaji mereka masih dibayar seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, masyarakat dinasihatkan supaya tidak meminta bantuan kerana ada peluang tetapi mintalah bantuan kerana betul-betul memerlukan.
Aminuddin berkata, hampir kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima terlalu banyak permohonan sehingga ada yang mencecah 2,000
“Sebab itulah saya minta kebijaksanaan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras DUN untuk mengagihkan peruntukan barangan dapur yang ditetapkan iaitu antara RM50 sehingga RM100 mengikut keadaan.
“Kalau boleh kita mahu semua yang betul-betul susah dapat manfaat ini. Tapi bila terlalu ramai yang buat permohonan kita perlu buat saringan supaya bantuan itu sampai pada mereka yang perlu,” katanya.
Beliau berharap masyarakat dapat bersabar menanti bantuan dan peruntukan sebanyak RM3 juta yang disediakan bagi tujuan itu pada fasa pertama PKP akan diselesaikan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Katanya, bagi fasa kedua bantuan, pihaknya akan memastikan prosesnya lebih baik dan akan dimaklumkan kepada rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!