Beri alasan tidak munasabah langgar PKP

Lima lelaki di Felda Teloi Timur ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan semalam.
Lima lelaki di Felda Teloi Timur ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan semalam.
A
A
A

SIK - Lima lelaki sanggup melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semata-mata mahu keluar rumah untuk meminta rokok dengan kawan di Jalan Kilang Felda Telok Timur di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman berkata, kesemua lelaki berusia 18 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang kerana didapati berkumpul di tepi jalan di kawasan Felda berkenaan dan dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika pasukan polis melakukan rondaan penguatkuasaan pemantauan PKP di kawasan Felda itu, sekumpulan lelaki dilihat melepak di tepi jalan di Jalan Kilang Felda Teloi Timur.

"Selepas disoal masing-masing gagal memberi penerangan munasabah apabila meninggalkan kediaman," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, antara alasan diterima termasuklah keluar untuk meminta rokok daripada rakan lain dan membeli barangan sebelum singgah sebentar bertemu rakan mereka.

Bagaimanapun, Abdul Razak berkata, pemeriksaan ke atas mereka yang masing-masing bekerja sendiri, penyelia dan penganggur itu tidak menemukan barang yang didakwa dibeli.

"Susulan itu, mereka ditahan mengikut peraturan 7 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan 2020) dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sik untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!