Nota suara tersebar bukan dari Dr Christopher: KKM
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan nota rakaman suara menerusi aplikasi WhatsApp yang tular didakwa daripada Ketua Pasukan Khas bagi menjalankan audit terhadap kematian pesakit Covid-19, Datuk Dr Christopher Lee.
KKM dalam satu hantaran di Facebook hari ini memaklumkan mesej berkenaan adalah palsu.
"Tular di WhatsApp penyebaran 'voice message' yang kononnya dihantar oleh Datuk Dr Christopher Lee.
"Untuk makluman, mesej ini adalah palsu," tulisnya.
Terdahulu, tular nota rakaman suara kononnya milik Dr Christopher mengatakan bahawa surat-surat yang diterima perlu diasingkan dan dibuka sehari kemudian kerana seseorang yang positif Covid-19 telah meludah pada surat-surat tersebut sebelum diedarkan.
Tuduhan meludah itu juga dikaitkan dengan posmen yang didakwa melakukan perkara itu bagi tujuan menyebarkan wabak tersebut.
Dr Christopher merupakan Pakar Perunding Penyakit Berjangkit yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) dilantik mengetuai pasukan khas itu yang berperanan untuk meneliti semula butiran pengurusan dan rawatan diberikan kepada setiap kes kematian Covid-19 oleh pakar berkaitan dengan hasilnya diharap dapat membantu pengurusan pesakit lain.
Sementara itu, Sinar Harian dalam proses mendapatkan kenyataan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dakwaan mengatakan perkara itu sudah dilaporkan oleh Pos Malaysia kepada agensi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!