Prihatin disifatkan terbaik di dunia: MB Perlis
KANGAR - Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion yang diumumkan kerajaan bagi membantu rakyat di negara ini disifatkan pakej bantuan terbaik di dunia.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, pakej yang diumumkan itu adalah terbaik pernah dilihat beliau, malah begitu menyeluruh untuk semua rakyat dan tiada sesiapapun yang terkecuali menerima bantuan.
Menurutnya, jumlah bantuan diberikan di bawah pakej sebanyak RM250 bilion berkenaan didapati sudah hampir menyamai jumlah perbelanjaan tahunan negara.
"Saya lihat pakej diumumkan adalah terbaik yang saya dengar di dunia setakat ini, yang mana ia sememangnya menyeluruh untuk semua rakyat.
"Jadi, keadaan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dengan masalah dialami akibat terkesan dengan wabak Covid-19, yang mana ia juga dirasakan merupakan perangsang untuk ekonomi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.
Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion yang memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat.
Daripada jumlah itu, Muhyiddin berkata, sebanyak RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion memperkukuhkan ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!