Serah notis kekosongan Dun Semenyih
SEKINCHAN - Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim mengesahkan telah menandatangani dan menyerahkan notis kekosongan Dun Semenyih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), petang semalam.
Suee Lim berkata, notis kekosongan itu diserahkan beliau kira-kira jam 3 petang kepada pengurus SPR di Putrajaya.
"SPR mengesahkan menerima notis kekosongan Dun Semenyih dan dijangka bermesyuarat dalam masa terdekat mengenai kekosongan kerusi Dun Semenyih.
"Kita serahkan kepada SPR untuk menetapkan tarikh sebenar PRK Dun Semenyih dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan," katanya.
Kerusi Dun Semenyih kosong berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.
Pada PRU14 lalu, Allahyarham yang mewakili PPBM menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8, 964 undi.
Dalam pada itu, Suee Lim meminta semua Adun termasuk pembangkang di negeri ini supaya mengutamakan kesihatan diri masing-masing.
"Walaupun sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai Adun seperti menghadiri undangan, majlis keraian dan berjumpa dengan rakyat, mereka (Adun Selangor) mesti meluangkan masa menjaga kesihatan.
"Berilah sedikit ruang pada diri sendiri bersenam kerana dalam empat PRK lalu yang tak sampai setahun ini, saya dapati tiga daripadanya adalah disebabkan masalah kesihatan dan penyakit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!