Muhamad Yusoff sertai JKKN Pulau Pinang
GEORGETOWN - Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) bagi menguruskan masalah berkaitan penularan koronavirus (Covid-19) di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau menghubungi Muhamad Yusoff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua pagi tadi bagi menyatakan perlantikan beliau sebagai Ahli JKKN dan lantikan terbabit mendapat persetujuannya.
"Muhamad Yusoff akan hadir ke mesyuarat JKNN pada Isnin ini untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah Covid-19.
"Saya berharap dalam tempoh krisis Covid-19, semua wakil rakyat Pulau Pinang tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang akan bekerjasama bagi memastikan kebajikan, kesihatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat terpelihara," katanya ketika mengadakan sidang akhbar menerusi Facebook Live di Komtar hari ini.
Mengulas mengenai pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Kon Yeow berkata, ia bantuan untuk membolehkan rakyat bangkit semula daripada kemuraman ekonomi.
Katanya, pakej yang diumumkan bertujuan membantu rakyat yang terkesan, komuniti perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi secara amnya.
"Ini merupakan pakej rangsangan ekonomi menangani impak Covid-19 yang kedua selepas Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari lalu.
"Saya berharap gabungan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang dan Pakej Prihatin Kerajaan Persekutuan akan membolehkan rakyat bangkit semula daripada kemuraman ekonomi akibat wabak ini.
"Fokus kita ialah memastikan semua bantuan dan insentif kewangan sampai dengan pantas serta jitu kepada kumpulan sasar," katanya.
Kon Yeow berkata, pada masa ini, bukan waktu untuk berpolitik kerana semua pihak perlu menggembleng tenaga supaya usaha membantu rakyat boleh dilaksanakan dengan pantas dan lancar.
Tambahnya, beliau berjanji bantuan wang melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang akan mula diagihkan pada April ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!