Kesan limpahan rangsangan jadikan Malaysia lebih bersedia
KUALA LUMPUR - Kesan limpahan daripada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion dapat menjadikan Malaysia lebih bersedia dan berdaya tahan walaupun cabaran pandemik Covid-19 mungkin berterusan selepas berakhirnya tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan setakat ini.
Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengambil langkah berani melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan menyokong para peniaga di negara ini.
“Kalau kita tidak ada bantuan dan suntikan ini, kita bimbang keadaan akan lebih parah lagi apabila syarikat-syarikat tidak beroperasi dan mereka tidak ada pilihan selain membuang pekerja.
“Sebab itu pendekatan kita adalah menyelamatkan pekerja ini dan membantu majikan supaya tidak membuang mereka.
“Saya yakin kesan pakej ini sebenarnya bukan hanya untuk tempoh tiga bulan ini tetapi hasil gandaan daripada pakej ini akan dapat membantu pertumbuhan dan aktiviti ekonomi dalam tempoh yang akan datang,” katanya,
Azmin berkata berkata demikian semasa Program Bicara Naratif Pakej Rangsangan Ekonomi yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara langsung, hari ini.
“Kita sedia maklum bahawa dunia menghadapi situasi amat sukar dan Malaysia tidak terkecuali dengan penularan Covid-19 di kala kelembapan ekonomi dunia.
Selain itu, katanya, Malaysia sebagai negara pengeluar minyak turut terkesan dengan harga minyak mentah dunia yang merudum ketika ini.
"Jadi kita perlu menyusun semula negara dan sebab itu kita berani melancarkan pakej RM250 bilion ini.
“Harapan kita apabila selesai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita dapat lihat satu keadaan yang menyakinkan,” katanya.
Menurut Azmin, Kementerian Kewangan telah menyediakan modul dan perincian kepada semua kementerian mengikut tanggungjawab masing-masing bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran dan perkara ini dipantau Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).
“Kita punya data lengkap khususnya penerima bantuan B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana. Untuk M40 mungkin sedikit cabaran seperti saya sebut sebelum ini, kerajaan kurang beri perhatian pada kategori ini.
“Dan mungkin atas dasar itu kita tidak mempunyai data yang lengkap dan perlu dipertingkatkan (usaha untuk mendapatkannya) supaya yang layak dapat hak mereka,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!