Tiga rakan degil diarah berpatah balik
MELAKA TENGAH - Tiga rakan diarah berpatah balik selepas didapati berada dalam kenderaan lebih daripada seorang dalam sekatan jalan raya (SJR) berdekatan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Kesemua mereka menaiki kereta Perodua Myvi berusia lingkungan 20-an itu memberi alasan untuk ke pasar raya sebelum diarahkan pulang semula ke rumah oleh anggota keselamatan.
Pegawai Pemantauan Operasi Koronavirus (Covid-19) Kontinjen Melaka dan Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, walaupun ada yang keluar untuk bekerja dan memberi barangan keperluan harian serta untuk ke hospital, namun ada segelintirnya masih berdegil dengan memberikan alasan tidak munasabah.
"Sekiranya tiada alasan kukuh untuk kita mempercayai keluar tanpa sebab, kita akan meminta mereka berpatah balik," katanya ketika membuat pemantauan SJR di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah hari ini.
Katanya, setelah 10 hari berlalu, sewajarnya kesedaran masyarakat untuk mengehadkan pergerakan dan duduk di rumah semakin tinggi sekali gus langkah ini dapat menghentikan rangkaian jangkitan Covid-19.
"Sekiranya ada pihak masih lagi berdegil, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,: katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata, pemantauan yang dilakukan itu turut memastikan setiap anggota polis termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di SJR mengguna pakai peralatan yang disediakan oleh Bukit Aman seperti topeng muka demi kebaikan dan keselamatan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!