Universiti awam disaran mulakan semester kedua selewat-lewatnya 1 Jun
PUTRAJAYA - Semua universiti awam disaran menyambung pengajian semester kedua sesi 2019/2020 seawal 27 April dan selewat-lewatnya 1 Jun depan.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, langkah ini diambil susulan penguatkuasaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April.
"Dengan pelanjutan tempoh ini, semester pertama sesi 2020/2021 dijangka bermula pada pertengahan Oktober 2020.
"Keputusan ini dibuat setelah perbincangan secara terperinci diadakan bersama wakil semua universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS)," katanya menerusi kenyataan berkenaan.
Menurutnya, langkah ini diambil berikutan PKP semasa dan arahan berkaitan pengurusan Covid-19, keberadaan pelajar tempatan dan antarabangsa di lokasi masing-masing serta faktor keselamatan dan kebajikan pelajar.
Faktor lain yang diambil kira ialah kesediaan universiti melaksanakan pengajaran dalam talian, cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh 24 Mei dan keperluan menamatkan semester kedua sesi 2019-2020 dan permulaan semester pertama sesi 2020/2021.
"Sehubungan itu, semua universiti awam perlu mengurus pergerakan semula pelajar ke kampus dengan mengambil kira faktor berkenaan.
"Bagi IPTS, mereka boleh menyambung semester sedia ada dan memulakan semester baharu mengikut kalendar akademik masing-masing.
"Semua pengurusan universiti juga perlu memaklumkan jadual akademik yang telah dikemaskini kepada semua pelajar," katanya.
Bagaimanapun menurut kenyataan itu, cadangan yang dikemukakan ini berdasarkan keputusan terkini kerajaan mengenai PKP.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa yang sama juga amat prihatin dengan kebajikan pelajar dan sentiasa menerima laporan ketika tempoh PKP terutama pelajar yang masih berada di kampus supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!