Pasar malam warga asing kena serbu
PERAI - Bagaikan berada di negara asing. Itu suasana yang dapat dilihat ketika berada di kawasan pasar malam Taman Nagasari, Juru di sini.
Boleh dikatakan hampir 90 peratus pengunjung di pasar malam ini terdiri daripada pekerja dan penduduk warganegara asing yang tinggal di hostel serta penempatan sekitar kawasan ini.
Bertindak atas maklumat awam dan risikan yang dibuat oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang, satu serbuan telah dibuat dalam Ops Ikrar pada jam 5 petang semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris berkata, dalam pemeriksaan yang dibuat di kawasan tapak pasar malam berkenaan seramai 30 orang warga asing diperiksa dan mendapati 13 daripadanya melakukan pelbagai kesalahan.
Menurutnya, disebabkan kawasan berkenaan berhampiran dengan kawasan kilang serta penempatan warga asing menyebabkan ada di kalangan mereka yang berani berniaga sendiri dan bekerja di beberapa gerai di pasar malam berkenaan tanpa mengetahui ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang negara.
"Mereka hanya dibenarkan bekerja mengikut kelulusan yang dikeluarkan di dalam permit serta visa sahaja. Sekiranya permit bekerja mereka tertulis mereka bekerja di sektor perkilangan mereka hanya boleh melakukan kerja itu sahaja.
"Dalam serbuan itu, ada di antara mereka yang menjual sayur, buah-buahan, ikan dan ais krim. Kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut," katanya.
Izham berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki Bangladesh, tiga lelaki Nepal, seorang lelaki Pakistan dan masing-masing seorang wanita warga Vietnam dan Myanmar.
Menurutnya, selain menyalahgunakan permit kerja ada di antara mereka yang dikenalpasti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kesemua mereka yang berusia 21 hingga 35 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!