Pengunjung Pasar Besar Alor Setar mulai patuh arahan

Keadaan dalam Pasar Besar Alor Setar yang lebih terkawal hasil kawalan ditetapkan MBAS dan penguat kuasa terlibat.
Keadaan dalam Pasar Besar Alor Setar yang lebih terkawal hasil kawalan ditetapkan MBAS dan penguat kuasa terlibat.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengunjung di Pasar Besar Alor Setar, di sini dilihat mematuhi arahan dikeluarkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) setelah kawalan diperketatkan di pintu masuk utama pasar berkenaan mulai hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di sini mendapati orang ramai diarahkan beratur sebelum dibenarkan masuk mengikut jumlah tertentu oleh anggota penguat kuasa yang bertugas, manakala laluan lain yang biasa digunakan pengunjung ditutup menggunakan pita pelekat MBAS dan dikawal oleh beberapa anggota penguat kuasa.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan MBAS, Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, pihaknya mulai mengambil tindakan berkenaan setelah orang ramai tidak mengendahkan peraturan berurus niaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

"Pasar ini adalah jenis terbuka, oleh itu kita tutup sekeliling pasar menggunakan pita pelekat dan hanya satu pintu sahaja yang boleh diakses oleh pengunjung.

"Alhamdulillah, keadaan hari ini lebih terkawal berbanding sebelum ini dan pengunjung juga memberi kerjasama yang baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pengunjung di Pasar Awam Kodiang beratur sementara menanti giliran untuk membeli barang keperluan di pasar terbabit.
Pengunjung di Pasar Awam Kodiang beratur sementara menanti giliran untuk membeli barang keperluan di pasar terbabit.

Terdahulu, seramai 60 anggota termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkawal di kawasan berkenaan mulai jam 7 pagi.

Mengulas lanjut katanya, selain pasar berkenaan, empat lagi pasar awam di bawah seliaan MBAS yang turut dipantau oleh penguat kuasa bagi memastikan peraturan sepanjang PKP dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

"Antara pasar berkenaan adalah Pasar Telok Wanjah, Pasar Kampung Berjaya, Pasar Simpang Kuala dan Pasar PKNK.

"Kawalan yang kita laksanakan ini bukan sahaja sebagai pengajaran, malah ia juga didikan kepada peniaga supaya mereka dapat mendidik pelanggan mengamalkan peraturan yang ditetapkan sepanjang PKP ini berlangsung," katanya.

Sementara itu, Pasar Awam Kodiang yang tular di media sosial akibat kesesakan yang berlaku kembali terkawal setelah Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) turut menjalankan kawalan dan sekatan mulai hari ini.

Yang Dipertua MPKP, Datuk Mohd Fisol Md Noh berkata, pihaknya menetapkan laluan tertentu yang boleh digunakan oleh pengunjung untuk masuk dan keluar.

Katanya, arahan lisan juga telah dikeluarkan kepada peniaga-peniaga yang tidak berlesen dan tiada rekod menyewa dengan tidak membenarkan mereka berniaga di kawasan berkenaan mulai hari ini.

Menurutnya, MPKP juga telah mengedarkan notis hebahan peraturan di Pasar Awam Kerpan yang akan berkuat kuasa mulai esok.

"Pengunjung dan peniaga yang hendak berurusan di pasar berkenaan perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan termasuk berbaris di garisan yang disediakan dengan mematuhi jarak sosial 1 meter.

"MPKP dengan kerjasama pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang didapati melanggar arahan yang dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!