Bila ada orang mati, mereka cari kami
TUMPAT - Bukan satu kerja mudah apatah lagi yang dibinanya adalah keranda mayat.
Kebiasaannya keranda yang menjadi 'rumah terakhir' si mati diukir cantik tetapi bagi masyarakat Melayu ia hanya diperbuat daripada kayu biasa.
Walaupun tidak ramai yang meminati kerja membuat keranda tetapi sepasang suami isteri di kampung Berangan Stesen, di sini menjadikannya sebagai sumber rezeki.
Rohani Ibrahim, 50, berkata, dia bersama suami, Rosli Hassan, 53, berkecimpung dalam pembuatan keranda sejak 12 tahun lalu.
Katanya, untuk menyiapkan sebuah keranda tidak mengambil masa lama hanya sekitar setengah jam sahaja.
"Bila orang mati, cari kami. Inilah 'rumah' kita semua bila mati nanti, tidak kira kaya atau miskin.
"Setiap kali membuat keranda, hati sentiasa ingat mati," katanya.
Pasangan suami isteri itu turut dibantu dua anaknya, Sazwan, 20, Syahiran, 22, menjadikan kerja menyiapkan keranda lebih cepat.
Rosli berkata, pengalamannya sebagai tukang rumah dan pemotong kayu memudahkan kerja membuat keranda ini.
"Ia cepat siap kerana dibantu isteri dan anak-anak.
"Isteri saya akan ketam kayu dan paku dinding keranda bersama anak-anak," katanya.
Keranda dibuat daripada kayu durian
Pemiliknya, Mat Nawi Yusoff, 73, berkata, ia berniaga keranda sudah 25 tahun dan mengambil Rosli dan Rohani sebagai pekerja apabila sepupunya yang mahir membuat keranda meninggal dunia.
Katanya, keranda tersebut diperbuat daripada kayu pokok durian dibeli daripada pembekal dan keranda yang siap dibekalkan di enam kampung daerah ini.
"Ada pelbagai saiz keranda yang dibuat pekerja saya itu.
"Dua saiz dewasa dan dua saiz kanak-kanak, jika ada jenazah yang berbadan besar perlu ditempah dan disiapkan terus," katanya.
Menurutnya, dia menjual keranda secara borong dan runcit termasuk kain kafan dan peralatan pengurusan jenazah.
Katanya, satu set lengkap pengurusan jenazah bersama keranda berharga RM324 untuk jenazah perempuan dan RM314 untuk lelaki.
"Saya juga jual keranda sahaja secara borong dan runcit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!