Kompleks Sri Aman, Paya Terubong pasar pertama diarah tutup MBPP
GEORGETOWN - Operasi Kompleks Sri Aman di Paya Terubong dekat sini ditutup berkuat kuasa hari ini setelah pengunjung yang hadir ke pasar itu gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan hari ini, menyebut bahawa pihaknya memandang serius ketidakpatuhan itu dan mengambil langkah serta-merta dengan menutup pasar berkenaan.
"MBPP akan terus memantau aktiviti perniagaan di seluruh kawasan di bahagian pulau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pasar, pasar raya dan premis perniagaan yang tidak mematuhi PKP," menurut kenyataan itu.
Sejak semalam, tular di media sosial kehadiran orang ramai di pasar itu, malah pengunjungnya turut dilihat tidak mematuhi jarakan sosial ketika mengunjungi pasar tersebut untuk membeli barang keperluan dan mereka juga dilihat berkumpul untuk bersembang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!