Kepentingan makanan ketika krisis
Seorang Jeneral Rom kuno berkata, beri makanan yang cukup kepada askar dan mereka akan membawa kemenangan dalam peperangan.
Sebab itulah dalam kaedah Perang Rom dan tamadun-tamadun sepertinya, kecukupan makanan menjadi penentu kepada berjaya atau gagal sesuatu peperangan.
Sampai hari ini pun hal yang sama masih diutamakan. Oleh sebab itulah makanan anggota tentera sama ada sewaktu aman atau perang sangat-sangat diutamakan.
Ketepatan hujah Jeneral Rom itu sedang kita rasakan pada ketika kita sedang memerangi wabak Covid-19.
Pertimbangan kita adalah memastikan bekalan makanan cukup.
Saya sudah kerap menulis tentang kebimbangan saya bahawa kita tidak bersungguh-sungguh dalam hal memastikan kecukupan makanan.
Walaupun sejak berdekad kita telah bercakap mengenai keselamatan makanan namun tahun demi tahun kita semakin bergantung kepada makanan import sedangkan pengeluaran makanan tempatan kian merosot.
Bukan itu saja, kita juga tidak mempunyai sistem rantaian bekalan makanan yang cekap sehingga mudah menyebabkan kekurangan bekalan dan peningkatan harga.
Dalam keadaan kita sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan terhad ini barulah kita tahu betapa pentingnya bekalan makanan yang mencukupi untuk diri dan keluarga.
Sebelum ini berapa ramai yang berfikir dan merancang keperluan makanan keluarga, sama ada harian, mingguan atau untuk tempoh lebih panjang.
Pengalaman sekarang sepatutnya mengajar kita untuk memikirkan dengan bersungguh-sungguh penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang mengenai isu bekalan makanan.
Buat waktu ini, perkara paling penting yang wajib dilaksanakan kerajaan adalah memastikan rantaian bekalan disambung semula.
Ini adalah kerana dalam keterdesakan hendak melaksanakan kawalan pergerakan, kerajaan lupa bahawa tindakan itu boleh menjejas pengeluaran dan pemasaran makanan.
Malah ia telah pun berlaku apabila nelayan terpaksa mencampakkan tangkapan ke laut dan pekebun sayur di Cameron Highlands tidak dapat menghantar keluaran mereka ke pasar.
Ini sepatutnya tidak berlaku kalau menteri dan pegawai yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran, pengedaran dan kawalan harga makanan bertindak secara pro-aktif.
Untuk jangka masa panjang, kita wajib melaksanakan secara serius dasar keselamatan dan kecukupan makanan supaya kita tidak terus bergantung kepada makanan import.
Pada masa sekarang dianggarkan lebih 70 peratus keperluan makanan kita diimport.
Ini sangat berbahaya terutama sekali dalam keadaan di mana banyak negara pengeksport makanan telah menyekat atau mengehadkan eskport untuk menjamin kecukupan bekalan tempatan.
Serentak itu kita juga menghadapi masalah pembayaran untuk mengimport makanan kerana nilai mata wang kita semakin merosot berbanding dollar Amerika dan mata wang utama yang lain.
Ini ada kaitan dengan kemerosotan ekonomi dunia yang disebabkan oleh Covid-19 dan kejatuhan teruk harga minyak mentah.
Sebelum kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sedang merangka program-program pertanian bagi membantu petani menambah hasil pendapatan dan menjadikan negara yang berjaya mengeluarkan makanan sendiri secukupnya.
Beliau merancang melancarkan program-program pertanian moden berkelompok yang berskala besar di mana setiap kelompok mengandungi antara 500 hingga 1,000 ekar.
Kesimpulannya, walaupun kita kini tertekan dalam semua aspek oleh wabak Covid-19, perancangan dan pelaksanaan projek-projek pertanian bagi menghasilkan makanan wajib diteruskan.
Pengeluar dan pembekal makanan adalah juga anggota barisan hadapan dalam peperangan melawan wabak Covid-19.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!