Rakyat Thailand terkandas di sempadan Wang Kelian dibenar pulang
PADANG BESAR - Seramai 280 rakyat Thailand yang terkandas di sempadan Wang Kelian di sini akhirnya dibenarkan pulang ke negara itu selepas mendapat kebenaran pihak Gabenor Wilayah Satun.
Sejak jam 6 pagi tadi, lebih 200 rakyat negara Gajah Putih itu terkandas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian.
Difahamkan, mereka terdiri daripada rakyat Thailand yang bekerja mengambil upah sebagai nelayan dan pembantu restoran, tiba dengan menaiki enam buah bas persiaran dari Pantai Remis dan Pulau Pangkor di Perak.
Rakyat Thailand, Suphanida Phuengcharoen, 22, berkata, mereka bertindak ‘menyerbu’ pintu sempadan Malaysia untuk pulang ke Thailand berikutan timbul salah faham susulan satu hebahan di Facebook bahawa kerajaannya memanggil rakyat pulang.
Katanya, berdasarkan hebahan itu, rakyat mendakwa dipanggil pulang oleh kerajaan Thailand melalui dua pintu sempadan, iaitu ICQS Wang Kelian dan Durian Burung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia.
"Memang pasti pada tarikh 26 Mac dibenarkan keluar hanya melalui pintu sempadan ini disebabkan pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam tidak dibenarkan keluar," katanya kepada pemberita hari ini.
Bagaimanapun, mereka baru menyedari bahawa hebahan itu tidak benar sebaik tiba di Wang Kelian dan gagal melepasi pagar keselamatan di sebelah Thailand kerana tiada kebenaran rasmi membenarkan masuk.
Sepanjang tempoh perundingan itu, berlaku beberapa kali ketegangan sebelum Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Raschada Jiwalai mengumumkan kebenaran pulang rakyatnya secara berperingkat kira-kira jam 4.45 petang.
Bagaimanapun, kira-kira 160 lagi rakyat Thailand yang masih lagi terkandas di sekatan jalan raya berhampiran Taman Negeri di Wang Kelian, diminta berpatah balik dan segera meninggalkan Perlis.
Buat masa ini, tiada mana-mana kenyataan rasmi berhubung perkara itu diterima dari pihak berkuasa Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!