Kekal positif lawan Covid-19

A
A
A

Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dan cemas dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari lagi (sehingga 14 April) kerana ia adalah sebahagian keputusan strategik kerajaan untuk mematikan rantaian penyebaran Covid-19.

Pada hemat saya kerajaan memilih melaksanakan PKP secara berfasa menggunakan tempoh 14 hari disebabkan faktor pengurusan manusia dan saintifik.

Dari segi pengurusan manusia, pengumuman PKP tempoh 14 hari lebih menenangkan orang ramai berbanding mengumumkan terus 28 hari atau sebulan. Ia mengelakkan rakyat membuat pembelian panik dan bertindak di luar kebiasaan.

Dari segi perubatan pula, fasa 14 hari dipilih kerana ia merupakantempoh inkubasi atau pengeraman maksimum virus SARS-CoV-2. Dalam tempoh 14 hari ini, bila-bila masa saja anda boleh mendapat sakit Covid-19. Jika selepas tempoh tersebut tiada deman dan selesema maka anda dianggap bebas Covid-19.

Bagaimanpun, tempoh 14 hari pertama terlalu singkat untuk mematikan rantaian penyebaran. Ketika PKP dilaksanakan kita belum mengenal pasti sebahagian besar pembawa dan penghidap Covid-19.

Saya menjangkakan berlaku peningkatan mendadak jumlah yang positif Covid-19 pada minggu hadapan. Namun rakyat tidak seharusnya bimbang kerana lagi ramai dikesan positif dalam tempoh PKP ini, bermakna lebih ramai orang yang boleh kita asingkan dan rawat.

Peningkatan yang bakal anda saksikan bukanlah kerana kegagalan PKP yang dilaksanakan, namun lebih kepada kekangan kita mengadakan ujian yang lebih meluas ke atas rakyat yang berisiko dijangkiti Covid-19. Entah di mana silapnya kita tidak bersedia berhadapan dengan gelombang besar pandemik ini.

Justeru, apabila berlaku jangkitan secara besar-besaran kepada kluster tabligh, maka kemampuan untuk mengadakan ujian secara besar-besaran dengan cepat itu tidak ada.

Kuarantin

Artikel Berkaitan:

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan sehingga Khamis lalu hanya 21,885 orang telah diuji di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 14,952 orang telah disahkan negatif Covid-19. Hanya 2,031 orang disahkan positif manakala 4,902 orang masih menunggu keputusan ujian.

Kehadiran di Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada hujung Februari lalu mencecah 10,000 orang. Mereka ini telah pulang ke tempat masing-masing sebelum dikaitkan dengan wabak ini. Mereka telah berhubung dengan ahli keluarga, kariah masjid dan menghadiri pelbagai majlis lain.

Walaupun terdapat kecaman kononnya ada antara mereka tidak memberi kerjasama, namun realitinya kerajaan juga tidak mempunyai kemampuan untuk mengadakan ujian secara menyeluruh ke atas mereka dan anggota masyarakat yang terkait dengan mereka.

Sebahagiannya hanya diminta kuarantin di rumah sebelum menjalani ujian dan mendapat keputusan. Namun ini hanya terhad kepada gelombang pertama daripada peserta tabligh, belum lagi anggota komuniti yang lain.

Jadi jika kita ambil kira angka sekitar 22,000 untuk semua kluster yang terjangkit, maka banyak lagi orang yang berkemungkinan positif belum diuji. Ini adalah antara sebab mengapa jumlah angka mereka yang sah positif Covid-19 agak rendah berbanding jumlah sebenar mereka yang mungkin terkena jangkitan tersebut.

Bagaimanapun, hal ini bakal berubah apabila kerajaan telah meningkatkan kemampuan menguji virus ini melalui kerjasama dan latihan dengan makmal-makmal swasta dan universiti.

Pada awal April nanti negara dijangka mampu mengadakan ujian PCR (Polymerase chain reaction) sehingga 16,000 sampel sehari berbanding sebelum ini sekitar 1,000-2,000 sampel sahaja.

Situasi ini membolehkan lebih banyak orang diuji dan diasingkan antara mereka yang positif dengan negatif. Selepas pengasingan ini kita akan mudah menyekat rantaian penyebaran Covid-19 dan membolehkan mereka yang negatif menjalani hidup seperti biasa.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!