Siapa Makcik Kiah?
KUALA LUMPUR - Analogi yang digunakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menghuraikan faedah yang diterima oleh rakyat dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi menghadapi krisis Covid-19 dengan menggunakan nama ‘Makcik Kiah’ cukup mencuit hati.
Ia menjadikan nama Makcik Kiah jadi sebutan dan tersohor kini dalam media sosial sehingga menimbulkan pertanyaan, siapa Makcik Kiah?
Si penjual pisang goreng yang mempunyai seorang anak bujang dan duduk di PPR Desa Tun Razak, suaminya pesara kerajaan dan sekarang ini membawa Grab dan anak mereka peminjam PTPTN - begitulah gambaran yang diberikan oleh perdana menteri bagi menghuraikan bantuan yang bakal diperoleh Makcik Kiah melalui pakej itu.
Lucunya, ‘Malaysia Onion Army’ dengan pantas mula menjalankan tugas mengesan Makcik Kiah dan macam-macam ‘hasil siasatan’ dimuat naik dalam media boleh menyebabkan mereka yang membacanya tersenyum sendiri.
Ada netizen yang bergurau ‘poh paleh aok mokcik kioh, dapat 8K kantup terus warung aok ya’ sambil menyertakan gambar restoran Warung Makcik Kiah di Sri Petaling yang menjual masakan kampung dan tidak lagi menjual goreng pisang.
Tidak kurang juga netizen yang bertanya ‘PM lupa bagi tahu anak bujang Makcik Kiah perempuan ke lelaki, boleh la syer di sini’ dan ‘yang single tu boleh dah pegi cari Makcik Kiah, mana tahu dapat jadi menantu’.
Yang paling kreatif, apabila ada netizen mentafsirkan maksud di sebalik perkataan di sebalik Makcik Kiah itu sendiri dengan mengaitkannya dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan wabak Covid-19 yang melanda negara.
M = Manfaatkan bersama keluarga
A = Ambil dan guna mengikut keperluan
K = Kawal perbelanjaan
C = Covid-19, perangi sehingga tamat
I = Ikut arahan PKP yang ditetapkan
K = Ketua keluarga sahaja yang keluar, bila perlu
K = Kendalikan kewangan dengan cermat
I = Ingat Allah
A = Awas, jangan boros
H = Harap kekal di dalam rumah
Biar apa pun tafsiran, Makcik Kiah hanyalah satu watak yang diberikan oleh perdana menteri untuk menerangkan mengenai manfaat termasuk pemberian tunai dan penjimatan RM7,864 yang diperoleh oleh satu keluarga menerusi pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dalam usaha kerajaan meringankan beban rakyat susulan kesan krisis Covid-19.
Kelmarin, Muhyiddin mengumumkan pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion yang memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat termasuk kakitangan kerajaan, golongan B40, M40, pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), sektor korporat dan swasta, bujang, mahasiswa serta pesara kerajaan.
Hampir RM128 bilion daripada jumlah itu disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana, manakala RM2 bilion diperuntukkan untuk memperkukuhkan ekonomi negara.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!