'Keluarga kami juga macam keluarga Makcik Kiah'
KUCHING - “Keluarga kami juga macam keluarga Makcik Kiah... saya sebagai orang bujang dapat RM800, ayah pesara kerajaan dapat RM500, adik yang sedang belajar di universiti dapat RM200".
Selain itu, Muhammad Nasrun Zaidi, 21, berkata, ibunya yang menjual makanan di kantin sekolah juga mendapat faedah daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.
Pakej yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat itu adalah bagi meringankan beban rakyat dan industri termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran ketika wabak Covid-19 yang menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rangkaian penularan virus itu.
Pakej Prihatin berjumlah RM250 bilion yang peduli rakyat itu akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban semua dengan tiada golongan yang akan tercicir.
Muhammad Nasrun berkata, ibunya dikecualikan daripada membayar sewa kantin selama enam bulan, manakala pengumuman moratarium daripada Bank Negara melibatkan bayaran ansuran bulanan kereta dan rumah juga banyak melegakan keluarganya.
“Saya amat bersyukur dengan bantuan kerajaan ini... saya tidak pasti sampai bila keadaan ini akan berlarutan, jadi langkah-langkah persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan perlu dirancang dari sekarang,” katanya kepada Bernama.
Muhammad Nasrun, yang bekerja sebagai penerbit kandungan di sebuah stesen radio swasta dan kini bekerja dari rumah, sebenarnya tidak menyangka bahawa golongan bujang dan pekerja swasta juga tidak ditinggalkan dalam penyaluran bantuan oleh kerajaan.
“Bantuan daripada kerajaan ini amat berbaloi kerana beberapa ahli keluarga saya turut mendapat manfaatnya,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!