Pemandu van kilang didakwa hina polis

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas pendakwaan.
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas pendakwaan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pemandu van kilang yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat sehingga mengaibkan anggota polis, awal bulan lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani.

Tertuduh, Ganesan Poniayah, 31, juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan kad pengenalan, menghalang tugas penjawat awam dan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 9 Mac 2020 telah menghalang tugas anggota berpangkat koperal menjalankan tugasnya iaitu rondaan cegah jenayah kira-kira jam 10.30 pagi di Tokong Hindu, Jalan Air Mendidih, Sungai Petani.

Jika sabit kesalahan tertuduh telah boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati gagal mengemukakan kad pengenalan miliknya ketika pemeriksaan dibuat.

Tertuduh juga didakwa telah mengaibkan anggota bertugas dengan mengeluarkan perkataan yang mengganggu kesantunan anggota terbabit dan didakwa bergerak dari rumahnya ke Tokong Hindu iaitu di dalam kawasan tempat jangkitan.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh dikenakan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati melanggar Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan anggota bertugas.

Artikel Berkaitan:

Dia juga boleh didenda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan Jangkitan) 2020.

Majistret Arif Mohamad Shariff tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala RM7,000 jaminan dengan seorang penjamin bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Pavitra Satha Sivam tarikh serahan dokumen ditentukan pada 19 Mei 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!