ADUN Seri Kembangan tanggung kos operasi nyahkuman
SERI KEMBANGAN - Prihatin dengan kesukaran pihak pengurusan sebuah pangsapuri di sini yang didakwa tidak mampu membayar kos operasi pembersihan nyah kuman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan tampil menghulurkan bantuan.
Ean Yong Hian Wah berkata, beliau dimaklumkan oleh badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri tersebut terdapat seorang penghuni di apartment terbabit dijangkiti Covid-19.
Menurutnya, pihak pengurusan pangsapuri diarah untuk melaksanakan proses pembersihan dan nyahkuman di kawasan awam blok pangsapuri yang terlibat.
"Pihak pengurusan pangsapuri beritahu sebut harga yang dikeluarkan sebuah syarikat kontraktor menyatakan kerja itu melibatkan kos sebanyak RM30,000.
"Pihak pengurusan maklumkan mereka tidak mampu dan minta bantuan pejabat ADUN Seri Kembangan.
"Saya buat keputusan kerja pembersihan itu dilaksanakan dengan kerjasama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seri Serdang," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas meninjau proses pembersihan itu di apartmen berkenaan pagi tadi.
Menurutnya, setakat ini beliau dimaklumkan hanya satu kes positif Covid-19 dilaporkan di DUN Seri Kembangan.
Dalam pada itu Hian Wah berkata, beliau berpuas hati dengan kepatuhan penduduk DUN Seri Kembangan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.
Menurutnya, bagi memastikan penduduk terus patuh, pihaknya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan polis sukarela ditempatkan di Pasar Pagi Seri Kembangan.
"Ia bagi membantu mengawal aliran keluar masuk pengunjung pasar. Hanya 50 orang dibenarkan masuk pada satu-satu masa manakala yang lain perlu beratur dengan jarak satu meter," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!