84 rakyat Malaysia terkandas di Mesir selamat tiba
SHAH ALAM – Seramai 84 rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir telah menaiki pesawat sewaan khas Kerajaan Brunei Darussalam dan tiba ke Bandar Seri Begawan pada jam 9.08 pagi tadi.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pada masa sama, kerajaan Malaysia turut membantu usaha kerajaan Brunei Darussalam membawa pulang kira-kira 134 rakyatnya yang terkandas di Malaysia.
Menurutnya, mereka dibawa pulang melalui pesawat Malaysia Airlines yang berlepas ke Lapangan Terbang Bandar Seri Begawan hari ini pada jam 5:15 pagi tadi.
“Pesawat yang sama kemudiannya membawa 84 rakyat Malaysia yang baru tiba dari Mesir dan 25 rakyat Malaysia yang terkandas di Brunei untuk pulang ke Malaysia dan mereka selamat tiba di Kuala Lumpur pada jam 12:11 tengah hari tadi.
“Patik, bagi pihak Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, menjunjung kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan negara Brunei Darussalam di atas perkenan kebenaran 84 rakyat Malaysia untuk turut serta pulang menaiki pesawat yang dihantar oleh kerajaan Brunei Darussalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Kamarudin, kerajaan akan terus berusaha memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara tidak diabaikan.
“Kerajaan akan terus komited menghulurkan bantuan sewajarnya. Ketika situasi yang mencabar ini, kerajaan mengalu-alukan kerjasama daripada pihak yang ingin menghulurkan bantuan dalam usaha Kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!