Penggunaan taut ancam tuntung
KEMAMAN - Sekumpulan sukarelawan Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Penyu Malaysia (TCS) terkejut apabila mendapati hidupan liar termasuk tuntung sungai yang kian pupus terperangkap pada taut nelayan yang dipasang di Sungai Kemaman.
Kejadian itu disedari semasa sukarelawan TCS menjalankan pemantauan rutin di sungai itu dekat Kampung Pasir Gajah, di sini, kelmarin sebagai persediaan menjelang musim tuntung naik bertelur atau dipanggil musim persarangan tuntung.
Pengarah Eksekutif TCS, Dr Chen Pelf Nyok berkata, sukarelawannya terperanjat kerana bukan hanya seekor tuntung terkena taut itu, malah ia turut mengena seekor burung bangau yang kemudiannya dibebaskan sukarelawan berkenaan.
"Saya amat sedih melihat tuntung sungai yang sangat terancam terkena mata kail ini terutama kerana bilangan tuntung semakin berkurangan bukan sahaja di Terengganu tetapi seluruh negara," katanya.
Tangani secara serius
Taut merupakan mata kail atau cangkuk yang diikat tali dan digantung dari ranting pokok di tepi sungai dan ia lazimnya diumpan dengan ikan atau perut ayam serta seringkali digunakan penduduk setempat untuk menangkap ikan.
Tegasnya, kes tuntung sungai terperangkap pada taut perlu dilihat secara serius kerana ia adalah hidupan sangat terancam di seluruh dunia dan disenaraikan spesies dilindungi sepenuhnya di dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Lebih mengecewakan katanya, musim persarangan tuntung juga cuma sebulan bagi setiap tahun.
Lebih 2,000 anak tuntung dilepaskan
Pelf Nyok berkata, di Semenanjung Malaysia, taburan tuntung sungai hanya direkodkan di Kedah, Perak dan Terengganu serta spesies itu tidak dijumpai di Sabah dan Sarawak.
Ekoran ancaman kepupusan menurutnya, TCS memulakan Projek Pemuliharaan Tuntung Sungai Kemaman pada 2011 dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta penduduk tempatan Kampung Pasir Gajah.
Sehingga kini, katanya, lebih 4,700 telur dieramkan dan lebih daripada 2,800 anak tuntung dilepaskan ke dalam Sungai Kemaman.
Sementara itu Adun Air Putih, Ab Razak Ibrahim ketika dihubungi berkata, larangan dan kawalan aktiviti perikanan di kawasan sungai itu hanya boleh dibuat jika kawasan itu diwartakan sebagai kawasan persarangan tuntung.
Usaha pewartaan demi pelihara tuntung
Katanya, usaha ke arah pewartaan itu sedang dilakukan dan sebagai usaha memelihara tuntung juga kerajaan negeri sudah tidak membenarkan aktiviti mengambil pasir bermula dari Sungai Pinang hingga Kampung Batu 14 kerana kawasan berpasir di tebing sungai merupakan tempat hidupan itu bertelur.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali menasihatkan kepada nelayan sungai agar lebih peka dengan keadaan sekitar sebelum menggunakan taut.
Bagaimanapun katanya, lazimnya nelayan sungai berdaftar dengan Jabatan Perikanan sedia maklum dengan sungai yang menjadi kawasan tuntung dan tidak memasang taut di kawasan terbabit.
"Memang ada kemungkinan taut akan terkena pada burung dan tuntung jadi kita nasihatkan supaya nelayan darat ini mahupun orang kampung agar lebih berhati-hati.
"Di Terengganu, semua alatan nelayan darat belum dilesenkan termasuk taut sebab tiada enakmen yang mewajibkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!