Timbunan sampah jadi rezeki suami isteri
PASIR GUDANG - Sepasang suami isteri serta empat anak mereka menyelongkar timbunan sampah di kawasan pembuangan sampah di Bandar Seri Alam di sini untuk mencari barang kitar semula yang boleh dijual sebagai sumber rezeki mereka.
Zulkarnain Sabngadi, 28, sambil mengendong anak berusia dua tahun yang menghidap sakit jantung dibantu isterinya, Norazawati Yusof, 33, berusaha mengasingkan sampah yang dikutip.
Mereka mendakwa terpaksa mengharungi rutin harian yang amat perit untuk kelangsungan hidup terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tiada pekerjaan malah mendakwa sebelum ini terpaksa tinggal dalam kanvas di bandar tersebut.
Pasangan tersebut mempunyai empat cahaya mata iaitu pasangan kembar Mohd Daniel Fakih dan Nursyah Malishah masing-masing berusia lapan tahun, Rekal Arif, 5, dan Mohd Adam Firaz, 8, yang menghidap sakit jantung berlubang sejak berusia sebulan.
Mohd Adam Firaz menjalani rawatan setiap bulan di Klinik Kesihatan Masai di sini dan pemeriksaan berkala di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk beberapa bulan.
Zulkarnain yang kini tidak mempunyai pekerjaan memberitahu, mereka mencari barang-barang yang boleh dijual dalam timbunan sampah untuk menampung kehidupan walaupun tahu arahan PKP.
"Apa yang boleh dibuat lagi, saya ada minta kerja sebagai kelindan lori tetapi disebabkan PKP kerja itu ditangguhkan terlebih dahulu. Bagaimana saya boleh duduk di rumah sahaja kalau tidak ada wang untuk menyara keluarga.
"Siapa mahu ambil bekerja dalam keadaan PKP tetapi saya perlu mencari rezeki untuk keluarga, tak kiralah apa pun asalkan halal," katanya ketika ditemui di Flat Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam di sini hari ini.
Ketika ini katanya, mereka sekeluarga menumpang di rumah ibu mertuanya bersama-sama adik iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU) di flat tersebut.
"Sebelum tinggal dalam kanvas kami menyewa RM500 di sebuah rumah dalam kawasan flat ini selama dua bulan sejak Januari lalu tetapi apabila perniagaan yang saya lakukan bersama-sama seorang rakan tidak berhasil, kami tidak mampu membayar sewa tersebut dan dihalau keluar," katanya.
Selepas perniagaan secara kecil-kecilan itu gagal, Zulkarnain bekerja di sebuah kilang sebelum berhenti semasa PKP manakala isterinya tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga Mohd Adam Firaz.
Zulkarnain yang berasal dari Felda Ulu Dengar, Kluang berkata, sebelum menyewa di flat berkenaan, mereka tinggal secara percuma di sebuah bilik di Masjid Nurul Hidayah di sini selama setahun.
Pendapatan mereka sekeluarga ketika ini hanya bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300, sesiapa yang mahu menghulurkan boleh berhubung dengan menghubungi mereka menerusi talian 010-5121225.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!