Covid-19: 490 peserta tabligh di Kelantan jalani saringan

Hasanuddin
Hasanuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Semua 490 individu dari negeri ini yang terlibat dengan himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling penghujung Februari lalu sudah menjalani saringan koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun Ketua Polis Negeri, Datuk Hasanuddin Hassan memaklumkan, pihaknya tidak mengetahui keputusan ujian saringan tersebut.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 15 peserta tabligh dari etnik Rohingya dan dua rakyat Thailand serta seorang dari Indonesia negatif Covid-19.

“Setakat ini, penyelia tabligh di negeri ini memberikan kerjasama sangat baik kepada polis dan melakukan membuat pemeriksaan kali kedua di hospital kerajaan selepas dimaklumkan ujian di hospital swasta tidak diterima,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim.

Hasanuddin juga memohon kerjasama jemaah tabligh yang belum membuat saringan supaya berbuat demikian dengan segera.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan juga, Hasanuddin berkata, polis tidak akan berkompromi dengan individu yang ingkar terhadap larangan berkenaan.

Setakat ini katanya, seramai 94 ditahan di seluruh Kelantan membabitkan usia 20 sehingga 50 tahun yang memberikan pelbagai alasan tidak munasabah serta berkumpul ketika PKP.

Artikel Berkaitan:

“Mereka berdegil dan kita terpaksa mengambil tindakan menahannya dan sudah ada yang didakwa di mahkamah.

“Terdapat juga netizen yang pergi ke tempat terpencil untuk melepak yang kononnya mereka terlepas daripada penguatkuasaan di bawah PKP tetapi tindakan berkumpul di luar rumah sebagai contoh berada di kedai kopi adalah salah dan boleh ditangkap,” katanya.

Bercakap mengenai kepatuhan rakyat Kelantan, Hasanuddin memberitahu sepanjang PKP dikuatkuasakan, tahap kepatuhan terhadap peraturan tersebut telah meningkat kepada 96 peratus berbanding sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!