127 NGO rayu kerajaan benarkan beri bantuan sepanjang PKP
SHAH ALAM - Sebanyak 127 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merayu kepada kerajaan untuk membenarkan pengedaran makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut satu kenyataan, pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani dan NGO terbabit terkesan dengan pengumuman oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa mereka tidak dibenarkan mengedar makanan kepada golongan berisiko.
"Kami sedar betapa seriusnya situasi yang kini melanda negara dan kami memberi komitmen sepenuhnya untuk membantu kerajaan untuk bersama-sama melawan Covid-19 dan menghentikan penyebaran virus ini.
"Pada masa yang sama, mungkin wujud kekurangan kesedaran terhadap berapa banyak komuniti dan golongan berisiko yang terkesan akibat PKP dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan asas termasuk makanan," katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, golongan-golongan yang terkesan termasuk golongan B40, golongan miskin di bandar dan luar bandar, rakyat yang telah hilang punca pendapatan akibat MCO, golongan tua, golongan yang tidak boleh keluar rumah, orang sakit, anak yatim, orang asli, pekerja asing dan pelarian.
"Kerajaan agaknya tidak mungkin ada senarai semua golongan berisiko yang memerlukan bantuan pada masa ini, atau mampu mengambil alih semua usaha kerja membantu komuniti-komuniti ini dengan segera," katanya.
Dalam pada itu, dasar sentralisasi yang dicadangkan itu dibimbangkan adalah hasil daripada perancangan yang kurang efektif dan pemahaman yang mungkin tidak lengkap berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh golongan miskin.
"NGO-NGO tidak wujud untuk menggantikan peranan kerajaan atau memburukkan nama baik kerajaan.
"Konsep #KitaJagaKita bukan berhasrat memberi apa-apa implikasi bahawa kerajaan gagal dalam mana-mana usaha, ianya hanya menekankan bahawa krisis ini cukup parah sehingga semua rakyat Malaysia diharuskan memikul tanggungjawab untuk menjaga kebajikan satu sama lain," katanya.
Kumpulan itu, merayu agar kerajaan memberi pelepasan kepada NGO-NGO untuk mengedar makanan, perubatan, dan keperluan lain secara selamat dan bertanggungjawab termasuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak kerajaan dan mematuhi garis panduan kesihatan serta keselamatan yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Kami yakin NGO-NGO terlibat akan terus mengambil langkah-langkah yang sepatutnya demi menjaga kesihatan dan keselamatan termasuk mengguna pembersih tangan, memastikan penjarakkan sosial dan mengehadkan nombor pekerja yang terlibat kepada yang diperlukan sahaja.
"Krisis ini menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia. Kita semua perlu bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat yang bersatupadu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!