Kanak-kanak 7 tahun jadi tebusan bapa mengamuk
KUANTAN - Seorang kanak-kanak perempuan berjaya diselamatkan selepas hampir empat jam terkurung dalam rumah dipercayai menjadi tebusan bapa kandungnya yang dikatakan mengalami masalah mental.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis menerima panggilan daripada isteri lelaki terbabit yang memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang di Bukit Rangin itu.
Wanita berkenaan memberitahu, suaminya yang berusia 30 tahun mengamuk di dalam rumah sambil mengacukan pisau ke arah anak mereka.
"Polis ke lokasi kejadian dan mendapati kanak-kanak berusia tujuh tahun itu berada di satu sudut di dalam rumah sambil memegang telefon bimbit.
"Pada peringkat awal polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memujuk bapa mangsa yang bersenjata pisau menyerah diri, tetapi gagal.
"Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, polis bertindak menyerbu lelaki berkenaan dan berlaku pergelutan antara polis dan lelaki terbabit menyebabkan suspek tercedera.
"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai sejarah sakit mental tetapi tidak mendapatkan rawatan sejak setahun lalu," katanya ketika ditemui pada sidang media di IPD Kuantan, sebentar tadi.
Beliau berkata, suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!