Mahkamah China hukum mati lelaki warga Kanada
DALIAN - CHINA. Mahkamah China semalam menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki warga Kanada atas dakwaan mengedar dadah selepas memutuskan hukuman penjara 15 tahun yang dikenakan sebelum ini terlalu ringan.
Robert Lloyd Schellenberg, 36, dijatuhi hukuman penjara pada November tahun lalu, namun mahkamah tinggi di Liaoning memutuskan pada Disember bahawa hukuman yang dikenakan adalah terlalu ringan berbanding kesalahan yang dilakukan.
Schellenberg yang ditahan pada Disember 2014, didakwa memainkan peranan utama dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
"Mahkamah menolak sepenuhnya penjelasan dan pembelaan tertuduh kerana ia bertentang dengan fakta.
"Sindiket ini bukan sahaja mengedar dadah ke satu negara, namun ia berleluasa ke sempadan dan membahayakan kesihatan manusia dan mengancam kestabilan negara terbabit," kata hakim sambil disaksikan pemerhati antaranya pegawai Kedutaan Kanada dan tiga wartawan asing.
Schellenberg bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan berkata dirinya bukan pengedar dadah, kedatangannya ke China hanya sebagai pelancong.
Keputusan mahkamah terbabit dilihat meningkatkan lagi ketegangan hubungan diplomatik antara Kanada dan China yang berantakan gara-gara penahanan eksekutif kanan firma telekomunikasi Huawei oleh Kanada bulan lalu berhubung dakwaan pelanggaran sekatan ke atas Iran.
Pihak berkuasa China kemudian bertindak pula menahan dua warga Kanada atas dakwaan membahayakan keselamatan negaranya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mendakwa China sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman mati dalam kes Schellenberg.
Sementara itu, keluarga Schellenberg menganggap keputusan mahkamah berkenaan sebagai sesuatu yang amat mengecewakan. - BBC/AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!