Covid-19: Operasi sanitasi awam di lokasi panas di seluruh negara

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi di dalam Masjid Taman Desa Ilmu Kota Samarahan hari ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. -Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi di dalam Masjid Taman Desa Ilmu Kota Samarahan hari ini sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan Operasi Sanitasi Awam di lokasi yang dikategorikan sebagai hotspot iaitu Zon Merah dan Zon Jingga dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata ia dilakukan secara bersepadu dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta SWCorp, operasi berkenaan juga akan dilaksanakan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di dalam Zon Merah.

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), JBPM akan melaksanakan proses nyah kuman dan virus di lokasi berisiko tinggi. Kaedah disinfeksi yang dilaksanakan selari dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan.

"KPKT juga meneruskan operasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di negeri yang menerima pakai Akta 672 dalam tempoh PKP. KPKT juga telah meminta supaya PBT turut memainkan peranan masing-masing dalam pengurusan sisa pepejal di negeri-negeri yang tidak mengguna pakai Akta 672," katanya dalam pesanan khidmat awam yang disiarkan menerusi stesen televisyen hari ini.

Zuraida berkata, PBT diberi kuasa menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) iaitu menguatkuasakan Pindaan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaun Kesalahan-Kesalahan) berkuat kuasa 27 Mac 2020.

KPKT juga sedang membangunkan SOP Operasi Essential Services (Perkhidmatan Penting) di peringkat PBT agar rakyat lebih mudah untuk mematuhi peraturan serta langkah keselamatan yang ditetapkan.

Hal ini penting dalam usaha mencegah wabak Covid-19 semasa menguruskan kehidupan seharian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hingga 14 April, katanya.

Selain itu, fasiliti KPKT iaitu Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia bersedia dijadikan sebagai pusat kuarantin, iaitu aset dan anggota bomba akan digerakkan bagi menyelaras pusat kuarantin tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pusat Latihan Pihak Berkuasa Tempatan (I- KPKT) juga bersedia untuk dijadikan pusat kuarantin yang boleh menempatkan 100 orang pesakit PUI (pesakit yang sedang disiasat),” kata Zuraida.

KPKT Hotline yang beroperasi 24 jam sehari turut diwujudkan sebagai gerbang komunikasi yang menghubungkan masyarakat umum dengan kementerian itu bagi menerangkan perkhidmatan berkaitan KPKT sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

"Saya berharap semua pihak berkuasa tempatan menjalankan tugas seperti biasa demi memastikan tahap kebersihan komuniti terjaga dalam tempoh PKP. Pada masa sama, komuniti diminta memberikan kerjasama menjaga kebersihan kawasan masing-masing agar dapat membendung wabak ini menular," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!