Jangan sampai frontliners kita gemuk!
RAKYAT Malaysia cukup terkenal dengan sifat pemurah dan suka memberikan sumbangan kepada kumpulan atau golongan yang memerlukan.
Malah, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan bermula 18 Mac lalu, banyak pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang perseorangan tampil menghulurkan bantuan.
Kesan awal pelaksanaan perintah itu pastinya dirasai oleh kumpulan B40, penjaja kecil dan mereka yang terpaksa bercuti tanpa gaji kerana operasi syarikat serta kilang yang tidak dapat beroperasi.
Namun begitu, satu hantaran dalam media sosial berhubung dakwaan seorang doktor di hospital kerajaan yang menarik perhatian rakyat Malaysia bahawa beliau memaklumkan banyak syarikat menyalurkan sumbangan makanan kepada hospital dan meminta ia disumbangkan kepada kumpulan yang lebih memerlukan.
“Hospital mempunyai makanan yang cukup. Percaya cakap saya. Sampai ada kakitangan yang makin gemuk minggu ini.
“Cukuplah hantar makanan ke hospital buat masa sekarang. Buat masa sekarang ia cukup,” katanya.
Ciapan tersebut mendapat pelbagai respons daripada netizen di mana ada antaranya memaklumkan ada rakannya di Kuantan, Pahang menceritakan bahawa jirannya datang ke rumah setiap petang untuk meminjam sedikit beras.
Tidak kurang juga berkongsi berita yang disiarkan oleh media mengenai penduduk kampung sebenarnya berdepan dengan masalah kekurangan makanan disebabkan terputus mata pencarian sepanjang PKP itu.
Timbul persoalan di sini adakah benar makanan yang disumbangkan kepada petugas kesihatan di hospital itu berlebihan?Benarkah makanan yang banyak itu menyebabkan petugas kesihatan kita mengalami peningkatan berat badan?
Adakah makanan disumbangkan itu sihat dan tidak memberikan kesan buruk kepada petugas kesihatan yang ketika ini terpaksa bertugas sehingga 16 jam sehari?
Jika ia benar, pastinya syarikat atau NGO yang memberikan sumbangan perlu memikirkan alternatif bagi menyelaraskan sumbangan itu agar ia tidak berlebihan dan lebihan tersebut dapat disalurkan kepada mereka yang pada ketika ini terpaksa mengikat perut.
Begitu juga dengan jenis makanan yang dihantar kepada petugas barisan hadapan negara termasuklah pasukan penguat kuasa seperti polis dan tentera yang perlu mempunyai diet seimbang serta memberikan tenaga yang mencukupi kepada mereka untuk melaksanakan tugas.
Menurut pakar dietetik, Mohd Hakim Zakaria, petugas kesihatan di hospital sedang menjalankan tugas berat ketika ini bagi merawat pesakit dan menghalang penularan wabak Covid-19.
Katanya, petugas kesihatan memerlukan makanan seimbang yang mempunyai nutrisi cukup untuk kekal bertenaga.
“Kalau kita perhatikan ada petugas yang bekerja sehingga 16 jam sehari dengan memakai PPE. Sepanjang tempoh bertugas mereka kehilangan banyak tenaga dan keletihan.
Itu merupakan pengalaman rakan-rakan saya yang bertugas di hospital ketika ini.“Seeloknya makanan untuk barisan hadapan kita ialah makanan sihat yang dimasak dan terus dimakan.
Namun, dalam keadaan sekarang ini, ia sesuatu yang sukar kerana rata-rata petugas mengenakan PPE untuk satu tempoh yang lama.
“Jadi saya cadangkan hidangan dalam bentuk makanan kering yang lengkap dan paling mudah iaitu roti atau sandwic yang diasingkan.
“Kenapa saya kata begitu, sebab pertama ia makanan seimbang, cukup nutrisi, tahan lama. Makan segera atau nasi bungkus mempunyai jangka masa singkat dan kita bimbang petugas kesihatan mengalami keracunan makanan,” katanya.
Jelasnya lagi, pengambilan air kosong oleh petugas barisan hadapan digalakkan berbanding minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi.
“Kita risau mereka (petugas kesihatan) mendapat penyakit lain dalam keadaan mereka tidak cukup rehat dan perlu menggunakan tenaga yang banyak.
“Bukan saya kata tak boleh langsung ambil minuman bergula tetapi jika berlebihan ia memudaratkan,” katanya.
Oleh itu, keperluan makanan sihat kepada petugas barisan hadapan negara perlu diutamakan agar mereka dapat terus berjuang ketika jumlah pesakit positif Covid-19 semakin meningkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!