Melaka belum ada kata putus adakan Bazar Ramadan
MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka belum memutuskan sama ada bazar Ramadan di negeri ini diteruskan atau sebaliknya pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dalam satu kenyataan media berkata, pihaknya sedang meneliti dan berbincang dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan kaedah terbaik bagi kepentingan semua pihak termasuk peniaga dan rakyat keseluruhannya.
Menurutnya, ia penting kerana peniaga bazar Ramadan juga akan terkesan susulan penularan wabak Koronavirus (Covid-19) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"PKP ini akan berakhir pada 14 April depan, manakala awal Ramadan dijangka pada 24 April.
"Jadi kita ada masa lebih kurang 10 hari untuk melihat situasi semasa wabak Covid-19 sama ada PKP akan dilanjutkan ataupun tidak," katanya dalam kenyataan itu.
Menurutnya, biarpun Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan arahan supaya semua bazar Ramadan dibatalkan namun pihaknya akan melihat perkara ini terlebih dahulu daripada pelbagai sudut.
"Bagilah saya sedikit masa untuk berbincang dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk mendapatkan kaedah terbaik," katanya dalam dalam kenyataan itu.
Sebelum ini tular di media sosial Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan membatalkan semua bazar Ramadan di bawah pentadbirannya.
Sementara itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Mansor Sudin yang dihubungi Sinar Harian berkata, surat yang tular adalah pembatalan bagi dua buah bazar Ramadan yang pernah diluluskan sebelum ini iaitu membabitkan bazar Ramadan Klebang dan Telok Mas.
Menurutnya, pihaknya akan senada dan selari dengan apa jua keputusan kerajaan negeri sama ada akan dibatalkan atau sebaliknya.
"Kita maklumkan kawasan itu hanya membabitkan bazar Ramadan di bawah MBMB yang sebelum ini dua telah diluluskan.
"Jadi kita ambil keputusan membatalkan dengan mengambil kira keadaan sekarang agar peniaga tidak perlu membuat sebarang bayaran dan sebagainya, apa pun ia akan tertakluk dengan keputusan kerajaan negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!