Bomba melecur ketika cuba selamatkan dokumen penting
ALOR SETAR - Seorang anggota bomba melecur ketika cuba menyelamatkan dokumen penting selepas rumah ibunya terbakar di Jalan Bunga Raya, Ampang Jajar petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Mohd Izaham Md Isa mengalami kecederaan pada bahagian tangan kiri kanan, bahagian kaki serta di bahagian belakang.
Menurutnya, anggota dari Balai bomba dan penyelamat (BBP) Alor Setar memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan selanjutnya.
"Makluman dari komander operasi, rumah tersebut adalah kediaman ibu kepada salah seorang anggota bomba dari BBP Amanjaya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, setibanya pasukan operasi ke tempat kejadian, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan rumah dua tingkat Kelas B dan sebuah kereta jenis Proton Wira.
Menurutnya, anggotanya tiba di lokasi pada jam 3.48 petang selepas menerima panggilan pada jam 3.43 petang.
"Anggota BBP Jalan Raja yang dibantu pasukan bomba sukarela berjaya mengawal api pada jam 3.55 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!