Jalan Pasar Awam Air Itam ditutup
GEORGETOWN - Jalan untuk ke Pasar Awam Air Itam di sini ditutup untuk orang awam bagi mengawal jumlah kehadiran pembeli ke kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penutupan jalan yang bermula hari ini itu akan dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.
Menurutnya, langkah tersebut terpaksa diambil berikutan kawasan tersebut tidak menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam pematuhan PKP.
"Setelah gerai penjaja tepi jalan di kawasan Pasar Awam Air Itam diarahkan tutup pada 22 Mac lalu, hari ini kita menutup jalan iaitu dari arah Air Itam dan juga arah Paya Terubong. Oleh demikian, pembeli yang hendak membeli keperluan barang basah, perlu meletakkan kenderaan mereka di hujung jalan dan berjalan untuk ke pasar.
"Ini antara langkah yang diambil bagi mengawal jumlah kehadiran pembeli ke kawasan dan dalam pasar. Tumpuan kita sekarang adalah memastikan pembeli mematuhi dan menjaga jarak sosial mereka apabila membeli dalam pasar," katanya kepada media di hadapan Pasar Awam Air Itam di sini hari ini.
Mengulas mengenai gesaan beberapa pihak agar menutup operasi pasar, Soffian berkata, perkara itu dilihat tidak relevan berikutan ia akan menyebabkan limpahan pembeli ke kawasan lain.
"Jika kita tutup terus pasar ini, kita bimbang akan berlaku limpahan pembeli ke pasar di kawasan lain. Ini kerana, pasar ini menampung penduduk di sekitar ini antaranya Farlim, Air Putih, Air Itam, Paya Terubong dan beberapa kawasan lagi.
"Jika kita tutup, pembeli akan ke pasar lain, masalah tetap tidak selesai. Oleh itu, kita ambil pendekatan dengan menutup jalan di kawasan pasar ini. Jika kita lihat pagi ini, keadaan di sini 70 peratus lebih baik berbanding sebelum ini. Saya ingin menasihatkan orang ramai agar jangan beli barangan basah secara runcit. Seboleh-bolehnya beli untuk lebih daripada dua hari agar mereka tidak selalu berada di kawasan pasar," katanya.
Soffian berkata, sehingga kini, hanya jalan di Pasar Awam Air Itam sahaja ditutup.
"Ada beberapa kawasan hotspot lain yang masih dalam pemantauan antaranya Pasar Awam Jelutong dan Pasar Awam Jalan Perak. Bagaimanapun, kita mendapati keadaan di kawasan tersebut terkawal dan belum sampai tahap untuk menutup jalan. Namun sekiranya perlu, kita tidak akan teragak-agak untuk melakukan perkara sama.
"Setiap kawasan hotspot termasuk Pasar Air Itam akan ditempatkan sekurang-kurangnya 60 anggota polis yang turut dibantu agensi lain antaranya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk pemantauan," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak mencetuskan isu sehingga tular di media sosial kononnya tiada pihak berkuasa memantau kawasan hotspot yang dikenal pasti.
"Saya mohon agar jangan ada yang mencetuskan isu kononnya beberapa kawasan termasuk Pasar Awam Air Itam tidak mematuhi PKP. Selain itu, hentikan lah tuduhan mengatakan tiada pihak berkuasa memantau kawasan ini sedangkan setiap masa, polis yang dibantu agensi lain sentiasa ada di sini untuk memantau keadaan.
"Kita ada menerima laporan berhubung ada pihak yang menyebarkan gambar dan kenyataan tidak benar mengenai keadaan di pasar ini semalam. Ia akan disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!