Mayat lelaki terapung di pantai Lido
JOHOR BAHRU - Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemukan terapung dalam takungan air di tepi Pantai Lido berhampiran Lebuh Raya Iskandar di sini hari ini.
Mayat berkenaan ditemui orang awam pada jam 1.26 petang yang melalui laluan berkenaan sebelum dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 40-an lengkap berpakaian baju kemeja dan berseluar pendek tetapi tiada sebarang maklumat lain ditemui bersama.
"Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat selepas pemeriksaan oleh pegawai perubatan di lokasi itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan mengenai identiti lelaki tersebut sedang dilakukan sama ada punca kematiannya berkait unsur jenayah.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Boma dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, seramai 14 anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dan dua Rapid Intervention Motorcycle (RIM) terlibat dalam operasi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!