Semua pasar raya, restoran, stesen minyak beroperasi 8 pagi hingga 8 malam

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan semua premis termasuk pasar raya, restoran dan stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi mulai jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu akan diberkuat kuasa Rabu ini serentak dengan fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, meskipun terdapat sekatan yang lebih tegas dalam fasa kedua itu, namun pergerakan masih dibenarkan.

"Kita tahu sekarang ini ada pasar raya yang dibuka sehingga jam 10 malam dan ada dimaklumkan sehingga 12 tengah malam.

"Oleh itu mesyuarat pagi ini membuat keputusan bahawa waktu beroperasi pasar raya dan mana-mana premis yang menjual barangan keperluan harian termasuk stesen minyak diselaraskan antara jam 8 pagi sehingga 8 malam.

"Bagi restoran, kedai makan dan sebagainya walaupun kita benarkan beroperasi bungkus untuk dibawa pulang ke rumah, waktunya juga sama dari 8 pagi sehingga 8 malam," katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, meskipun sekatan yang lebih ketat dilakukan dalam fasa kedua nanti, namun ia bukan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti yang telah dilaksanakan di Simpang Renggam, Johor dan Hulu Langat, Selangor.

"Untuk fasa kedua ini berbeza dengan PKPD yang dilaksanakan di Simpang Renggam dan Sungai Lui. Kalau di sana tidak boleh keluar langsung, makanan pun akan dihantar ke rumah tetapi di sini tidak, jauh sekali daripada perintah berkurung seperti yang diperkatakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!