Langgar PKP: Tiga larikan diri dengan sebuah kereta
JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang cuba melarikan diri dengan sebuah kereta selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Permas di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pada jam 3.15 pagi itu, anggota peronda Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang membuat rondaan cegah jenayah dan PKPmendapati kenderaan yang dinaiki tiga individu itu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, polis mengarahkan pemandu Proton Saga kelabu berusia 40 tahun keluar dari kenderaan namun dia bertindak memecut kereta berkenaan.
"Kereta peronda polis mengejar kenderaan suspek sehingga ke Kampung Plentong Baru dan Jalan Permas 2.
"Polis berjaya menahan mereka di Jalan Permas 2/4, walaupun ketiga-tiga mereka bertindak keluar dari kereta dan cuba melarikan diri
"Hasil soal siasat awal mereka dapati gagal beri keterangan munasabah tujuan masih berada di luar kawasan dan mengaku enggan memberikan kerjasama serta mencabar pihak polis untuk menangkap mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati suspek berusia 40 tahun berasal dari Taman Plentong Baru, Masai dan tidak bekerja, seorang lagi lelaki berusia 25 tahun berasal dari Permas Jaya bekerja sebagai artis airbrush manakala wanita berusia 33 tahun berasal dari Taman Bukit Beruang Utama, Melaka dan tidak bekerja.
Jelasnya, kesemua mereka masing-masing mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
Kesemua suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!