Polis pakai 'helmet' Covid-19 tarik perhatian
CHENNAI - Seorang pegawai polis di Chennai, India menggunakan kreativiti dalam usahanya membantu mencegah penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara itu.
Rajesh Babu memberitahu Asian News International dalam satu temu bual baru-baru ini, berkata, beliau memakai topi keledar yang kelihatan seperti virus Covid-19 bertujuan untuk menakutkan orang ramai, lapor Metro.UK.
Beliau memakainya ketika membuat rondaan sekitar Chennai susulan pengumuman kerajaan mengehadkan pergerakan rakyat selama 21 hari bagi mengekang penyebaran Covid-19.
"Kami dah buat pelbagai langkah tapi orang ramai masih berdegil untuk keluar daripada rumah mereka.
"Namun dengan adanya helmet Covid-19 ini, orang ramai dilihat lebih menghargai usaha polis dan kanak-kanak terutamanya akan menjerit dan menangis selain meminta ibu bapa, ahli keluarga supaya bawanya pulang ke rumah dengan segera kerana terlalu takut dengan Covid-19." katanya.
Rajesh berharap lebih ramai penduduk sedar akan usaha kerajaan tentang kepentingan berada di rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!