'Rakyat Selangor Berdoa' malam ini
SHAH ALAM - Umat Islam di negeri ini diseru menyertai program 'Rakyat Selangor Berdoa' malam ini bagi menzahirkan ikhtiar memohon perlindungan ALLAH SWT daripada ancaman wabak koronavirus (Covid-19).
Program tepat pada jam 8.50 malam itu juga akan dilaksanakan Khamis ini di kediaman masing-masing #stayathome selepas solat Isyak.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, imam di masjid dan surau akan mengalunkan bacaan zikir dan doa menggunakan pembesar suara tanpa kehadiran jemaah di masjid dan surau.
Beliau berkata, umat Islam yang ingin mengikuti bacaan zikir dan doa boleh menontonnya secara langsung di laman Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.
“JAIS memandang serius penularan virus Covid-19 di seluruh Malaysia terutama di Selangor.
“JAIS ingin menyeru seluruh umat Islam di negeri ini khususnya untuk bersama-sama mengikuti program 'Rakyat Selangor Berdoa' bagi menzahirkan ikhtiar dan usaha memohon pertolongan ALLAH SWT secara berzikir dan berdoa bagi perlindungan daripada segala ancaman wabak penyakit,” katanya menerusi satu kenyataan sebelum ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!