Sut perlindungan sumbangan Tabung CovidSinar diguna operasi nyahcemar

Pasukan Pejabat Kesihatan Lembah Pantai lengkap memakai sut pelindungan penuh sumbangan Tabung CovidSinar sebelum memulakan tugasan pemindahan individu dikuarantin di Sri Petaling, Jumaat lalu.
Pasukan Pejabat Kesihatan Lembah Pantai lengkap memakai sut pelindungan penuh sumbangan Tabung CovidSinar sebelum memulakan tugasan pemindahan individu dikuarantin di Sri Petaling, Jumaat lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 300 sut perlindungan penuh (coverall) yang diedarkan oleh Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian hasil sumbangan orang ramai telah digunakan untuk operasi nyahcemar.

Sukarelawan Tabung CovidSinar, Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata, separuh sut perlindungan penuh itu sebelum ini diedarkan kepada Pejabat Kesihatan Lembah Pantai dan separuh lagi kepada Pejabat Kesihatan Titiwangsa.

"Kita tumpukan dua kawasan ini kerana kedua-duanya kawasan zon merah.

"Lembah Pantai mencatatkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pasukan Pejabat Kesihatan Lembah Pantai memakai sut perlindungan penuh berwarna oren itu ketika melakukan tugas memindahkan individu yang dikuarantin di Sri Petaling pada Jumaat lalu sebelum keesokannya turut menjalankan operasi nyahcemar di kawasan tersebut.

"Lembah pantai bertanggungjawab ke atas kawasan 'ground zero' Sri Petaling," katanya.

Seorang anggota Pejabat Kesihatan Lembah Pantai melakukan operasi nyahcemar di Sri Petaling Sabtu lalu.
Seorang anggota Pejabat Kesihatan Lembah Pantai melakukan operasi nyahcemar di Sri Petaling Sabtu lalu.

Dr Muhammad Irwan berkata, sebanyak 2,000 bekalan sut perlindungan diri (PPE) dijangka tiba di Pusat Operasi Sinar Untuk Frontliners Covid-19 di Kumpulan Karangkraf esok hasil Tabung CovidSinar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak tiga buah khemah sumbangan Tabung CovidSinar juga akan dipasang di tiga klinik kesihatan esok.

Katanya, ia membabitkan Klinik Kesihatan Segambut, Klinik Kesihatan Jinjang dan Klinik Kesihatan Batu yang ketiga-tiganya di bawah Pejabat Kesihatan Kepong.

"Khemah ini dipasang untuk beri keselesaan kepada pegawai perubatan melakukan proses saringan memandangkan ruang luar klinik yang mungkin agak kecil untuk jalankan ujian bagi bilangan ramai.

"Kebiasaannya klinik akan buat proses saringan dan pengambilan sampel di luar klinik," katanya.

Sinar Harian mengaktifkan Tabung CovidSinar pada 21 Mac lalu untuk membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama-sama membantu barisan hadapan dalam mengumpulkan dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!