Bridget Lai dan Abang Halmi dilantik anggota EAC baru
PUTRAJAYA - Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini bersetuju melantik dua tokoh ekonomi dari Sabah dan Sarawak sebagai anggota EAC iaitu Datuk Bridget Lai@ Bridget Anne Chin Hung Yee dan Datu Abang Halmi Ikhwan.
Dalam satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, dua tokoh terbabit masing-masing merupakan tokoh perbankan terkenal di Sabah dan Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak.
"Pelantikan itu menjadikan jumlah terkini anggota EAC ialah seramai 13 orang. Mesyuarat EAC juga memberi tumpuan khusus terhadap pandangan serta rungutan daripada kalangan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berhadapan cabaran sangat getir berikutan wabak koronavirus (Covid-19).
"Bagi meringankan beban penyewa, semua pemilik premis perniagaan swasta atau persendirian digesa mempertimbangkan pemberian diskaun, penangguhan atau pengecualian bayaran sewa ke atas peniaga yang tidak dapat menjalankan perniagaan," kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Unit Laksana Kementerian Kewangan turut membentangkan laporan pemantauan Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan bagi memastikan objektif digariskan kerajaan tercapai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!