Musibah ketika ini berbeza dengan bencana dahulu: Annuar
KUALA LUMPUR - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memberi sumbangan kepada golongan memerlukan dialu-alukan berbuat demikian, namun perlu merujuk kepada pusat pengurusan krisis (CMC) yang telah dibentuk.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menyambut baik penglibatan, usaha dan keprihatinan pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan, namun katanya, situasi kini berbeza dengan agihan bantuan bencana yang biasa dilalui sebelum ini.
“Rakyat sangat cakna dan bermurah hati untuk membantu namun situasi sekarang agak berbeza dengan bencana yang biasa kita lalui...kali ini penularan wabak melibatkan seluruh negara dan kita berperang dengan virus yang tak nampak dengan mata.
“Kita perlu mengawalnya dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) atau kaedah tertentu yang diurus secara tertib dan sesuai dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi sidang media secara live di akaun Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, pusat pengurusan krisis yang dibentuk di bawah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan berfungsi sepenuh masa untuk menyelaraskan sumbangan atau aktiviti ingin dilakukan pihak NGO.
Tambahnya, agihan sumbangan tidak boleh dilaksanakan pihak NGO, sukarelawan atau individu secara sendirian berikutan pihaknya khuatir keselamatan pihak terlibat.
“Penyelarasan ini bagi memastikan sumber yang ada dapat digunakan secara optimum. Kalau tidak, mungkin berlaku pertindihan bantuan. Ada tempat selalu dapat banyak bantuan ada pula mungkin tempat yang lebih memerlukan tetapi tak dapat bantuan.
“Untuk memastikan pengurusan masalah keperluan bekalan, kita putuskan bantuan kecil yang hendak dibawa oleh NGO diselaraskan. Bantuan besar pula diputuskan disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.
Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya juga tiada masalah jika bantuan hendak diagihkan kepada warga asing.
“Kita ada sahabat dari negara Indonesia, komuniti pelarian Rohingya dan juga Afghanistan. Digalakkan bantu mereka tapi penyelarasan kena rujuk CMC yang beralamat di Jalan Tun Razak dahulu untuk pastikan peraturan ditetapkan diikuti,” katanya.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor memberitahu mengenai larangan agihan bantuan makanan secara terus oleh NGO kepada penerima sebagai langkah mengelakkan mereka terdedah kepada jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, keputusan tersebut diambil selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Ismail Sabri berkata, mungkin ada ahli NGO yang tidak berpuas hati tetapi tindakan itu terpaksa diambil untuk kepentingan semua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!