Taraf Nusantara agih bantuan kepada penduduk BBSAP

Farid Omar (baju biru) menyerahkan sumbangan kepada penduduk di Bandar Baru Setia Awan Perdana di Manjung.
Farid Omar (baju biru) menyerahkan sumbangan kepada penduduk di Bandar Baru Setia Awan Perdana di Manjung.
A
A
A

MANJUNG - Syarikat pemaju perumahan, Taraf Nusantara Sdn Bhd membuat agihan barangan keperluan dapur dan sayuran segar kepada lebih 1,000 penduduk projek perumahan mampu milik di Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) di sini, semalam.

Agihan barangan bernilai lebih RM50,000 itu dilakukan sendiri pasukan sukarelawan syarikat bersama Persatuan Penduduk BBSAP.

Pengurus Jualan Taraf Nusantara Sdn Bhd, Farid Omar berkata, agihan dilakukan secara terus ke rumah bagi mengurangkan pergerakan penduduk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami faham dalam tempoh PKP ini, pasti sukar bagi penduduk keluar membeli barang keperluan.

"Tambahan pula penempatan ini dihuni banyak keluarga dan ada antara mereka mempunyai anak kecil serta warga emas yang berisiko jika keluar rumah dengan kerap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua bekalan sayur diperolehi dari Cameron Highlands sementara barangan runcit termasuklah beras, mi segera, mi, gula, minyak masak, telur dan banyak lagi.

Sebahagian barang keperluan yang dibawa oleh Taraf Nusantara Sdn Bhd untuk mengurangkan beban penduduk BBSAP sepanjang tempoh PKP ini.
Sebahagian barang keperluan yang dibawa oleh Taraf Nusantara Sdn Bhd untuk mengurangkan beban penduduk BBSAP sepanjang tempoh PKP ini.

"Kami berharap sumbangan kecil sebegini mampu mengurangkan beban mereka dalam tempoh getir ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

BBSAP merupakan antara projek pembangunan rumah mampu milik oleh Taraf Nusantara Sdn Bhd yang mana serahan kunci bagi Fasa 1 membabitkan lebih 250 unit rumah telah dilakukan pada April tahun lepas.

Mengulas lanjut, Farid berkata, syarikat itu merancang menghantar bekalan makanan dan bahan runcit tambahan secara berperingkat kepada penduduk di situ antaranya sardin, tepung dan ikan bilis.

"Kami berharap penduduk di sini akan terus menjaga diri sepanjang tempoh kuarantin ini dan mengamalkan langkah berjaga-jaga sehinggalah kerajaan mengumumkan sudah selamat untuk kita semua keluar semula,” katanya.

Sementara itu, Presiden Penduduk BBSAP Fasa 1, Mohd Nor Safarin Mansor berkata, terdapat kira-kira 400 kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun dan kira-kira 70 warga emas berusia lebih 65 tahun tinggal di perumahan tersebut.

“Agihan ini telah disampaikan kepada 254 rumah di sini, malah kami memanjangkan juga bantuan sama kepada 80 penduduk di sekitar taman perumahan berhampiran seperti di Sungai Wangi, Lekir dan Balai Polis Pekan Gurney,” katanya.

BBSAP merupakan salah satu projek perumahan mampu milik oleh Taraf Nusantara melibatkan lima fasa dengan jumlah keseluruhan 10,500 unit rumah.

Fasa 2 projek perumahan itu dilaporkan telah siap dan hanya menanti Sijil Siap dan Patuh (CCC) manakala Fasa 3 dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2021.

Projek perumahan ini menawarkan rumah lot mampu milik kepada rakyat Malaysia dari harga serendah RM135,000 satu unit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!