Rashdan Baba beri sumbangan besar kepada TM

Mohd Rashdan Baba
Mohd Rashdan Baba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba yang meninggal dunia hari ini pada usia 85 tahun memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan industri telekomunikasi dan ekonomi.

Pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM), Rosli Man berkata, selain menjadi ahli akademik yang tersohor, Mohd Rashdan pernah menjadi Pengerusi TM selama 12 tahun iaitu dari 1 November 1985 hingga 30 November 1997.

Menurutnya, tokoh akademik itu memainkan peranan penting dalam membina asas untuk menjadikan TM sebagai konglomerat dalam industri telekomunikasi.

"Kami benar-benar sedih dengan pemergian Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba pada awal pagi ini. Allahyarham seorang warga TM yang berdedikasi dan komited ketika memimpin syarikat pada waktu awal penswastaannya, ketika itu beliau adalah Pengerusi Eksekutif TM.

"Kami berterima kasih terhadap semua yang dilakukannya untuk TM, ia lebih menyentuh perasaan kami apabila beliau terus memberi sokongan kepada TM dan terus berhubung dengan syarikat dengan menghadiri acara korporat kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rashdan meninggal dunia pada jam 6.59 pagi di Hospital Ampang Puteri dan jenazahnya dibawa ke Masjid Taman Tun Dr Ismail untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

ARTIKEL BERKAITAN: Tokoh akademik Rashdan Baba meninggal dunia

Allahyarham meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Datin Dr Rayslida manakala isterinya, Puan Sri Robiyah Abdul Majid sudah pun meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Rosli, bagi pihak ahli lembaga pengarah, pengurusan dan warga TM (pekerja), mengucapkan takziah dan simpati kepada Datin Dr Rayslida dan keluarga atas pemergian Allahyarham Mohd Rashdan.

Artikel Berkaitan:

Dalam bidang pendidikan, Mohd Rashdan dilantik sebagai Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1 September 1969 hingga 31 Mac 1971 dan seterusnya menjadi Naib Canselor Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia ) (UPM) yang pertama, dari tahun 1971 hingga 1982.

Ikon pendidikan kelahiran Rembau itu telah dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus oleh UPM pada 14 Ogos 1982 dan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang UKM pada 3 Julai 1999.

Beliau juga menerima menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Sains dari University of Reading pada 1986 dan Kedoktoran Undang-undang dari University of Leeds, United Kingdom pada 1989.

Pada 2013, beliau adalah penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!